RM110 juta lengkapkan kawasan pelancongan, kerjasama ekopelancongan, pencalonan UNESCO

Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan akan menyertai pencalonan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk Tapak Lombong Bijih Timah Sungai Lembing, Pahang dan budaya perarakan Chingay serta tarian singa bagi persiapan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, sejumlah RM110 juta disediakan bagi melengkapkan kawasan pelancongan, menjalin kerjasama ekopelancongan dan menyokong pencalonan UNESCO.

"Kerajaan juga akan menambah baik kemudahan di Taman Negara Endau Rompin, Johor; Pulau Redang, Terengganu dan Pantai Tusan Bekenu, Sarawak.

"Kerajaan turut menjalin kerjasama ekopelancongan dengan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan Habitat Foundation bagi tujuan itu,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Tambah Anwar, hampir RM550 juta disediakan bagi mempergiat promosi dan aktiviti pelancongan negara ini.

Jelas beliau, ia meliputi penganjuran aktiviti budaya, acara pelancongan dan capaian penerbangan ke Malaysia.

"Selain itu, kerajaan akan memperkasakan ekonomi komuniti melalui seni termasuk mempromosi kraf tangan dan batik.

"Bagi memelihara Kuala Lumpur sebagai bandar raya budaya dan kreatif, Khazanah menyediakan 600 juta ringgit untuk memulih serta mengangkat nilai Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara.

Artikel Berkaitan:

"Ini termasuk membina jambatan bertingkat yang menghubungkan Taman Botani Perdana dengan Carcosa Seri Negara," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!