Belanjawan 2025: Kerajaan peruntuk RM84 juta naik taraf Kampung Baru Cina
KUALA LUMPUR - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM84 juta kepada Kampung Baru Cina untuk menaik taraf kemudahan asas dan sosial bagi kegunaan komuniti.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga diberi tanggungjawab untuk menyelaras keperluan di perkampungan kaum India dan akan meningkatkan usaha serta menggalakkan pemilikan rumah pertama.
"Perumahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dilaksanakan puluhan tahun untuk manfaat rakyat susah. Kerajaan terus menggembleng usaha memastikan persekitaran PPR dan komuniti perumahan yang lebih manusiawi.
"Rumah strata kos rendah dan sederhana awam diselenggara termasuk mengganti lif usang dengan peruntukan hampir RM200 juta.
"Sebanyak 48 Taman Awam Madani dinaik taraf meliputi kawasan rekreasi serta landskap serba indah di bandar dan pekan kecil dengan peruntukan hampir RM100 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, peruntukan sebanyak RM30 juta disediakan bagi Program Anak Kita sebagai ikhtiar bersepadu menangani isu keciciran 80,000 pelajar.
Ujarnya, Yayasan Hasanah juga menelusuri isu keciciran termasuk menarik minat pelajar menceburi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
"Usaha menangani isu malpemakanan dalam kalangan anak-anak di PPR Lembah Klang diperhebat melalui projek rintis yang turut dibiayai bersama Pertubuhan Kanak-kanak Sedunia dengan peruntukan RM5 juta.
"Aktiviti ekonomi rakyat seperti perusahaan makanan menggunakan platform Dapur Digital oleh Pepper Labs dipergiat dengan peruntukan RM5 juta," katanya.
Tambah Anwar, sebanyak 180 kamera litar tertutup berdefinisi tinggi dan 45 butang cemas akan dipasang di Putrajaya dan Labuan bagi meningkatkan tahap keselamatan.
Menurutnya, kerajaan akan membentuk sebuah rangka kerja pemerkasaan komuniti bagi memperkukuh peranan persatuan penduduk sebagai pemudah cara di peringkat komuniti.
Ujar beliau, persatuan penduduk diberi latihan kepimpinan sewajarnya oleh Yayasan Sime Darby, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan berkaitan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!