Belanjawan 2025: Kemudahan van sekolah 50 sen sehala dari stesen LRT terpilih

Bermula tahun hadapan, Prasarana akan menyediakan kemudahan van hanya dengan bayaran 50 sen sehala untuk kemudahan anak-anak ke sekolah dari stesen tren terpilih. Gambar hiasan
Bermula tahun hadapan, Prasarana akan menyediakan kemudahan van hanya dengan bayaran 50 sen sehala untuk kemudahan anak-anak ke sekolah dari stesen tren terpilih. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bermula tahun hadapan, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan menyediakan kemudahan van hanya dengan bayaran 50 sen sehala untuk kemudahan anak-anak ke sekolah dari stesen tren terpilih.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai permulaan, stesen yang terlibat ialah di Stesen transit aliran ringan (LRT) Sri Rampai dan LRT Melati.

“Kerajaan juga bersetuju memberikan tambang percuma kepada semua mahasiswa universiti, politeknik, kolej komuniti dan matrikulasi di seluruh negara yang menggunakan perkhidmatan BAS.MY.

“Pas Bulanan My50 diteruskan bagi manfaat 180 ribu pengguna Lembah Klang menggunakan bas dan rel Prasarana,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat

Beliau menambah, Prasarana juga telah membuat perolehan 250 bas elektrik tahun ini membolehkan perkhidmatan bas henti-henti terus disokong dengan peruntukan lebih RM270 juta dan setiap bandar utama di semua negeri bakal menerima manfaat.

“Capaian bas ditingkatkan di Lembah Klang. RM10 juta ringgit disediakan bagi menambah lorong bas khas melibatkan Jalan Ipoh, Jalan Cheras dan Jalan Gombak sepanjang 47 kilometer.

“100 hentian bas di Lembah Klang akan ditambah baik melibatkan kerjasama agensi berkaitan kerajaan (GLC) dan badan swasta bagi meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna perkhidmatan bas awam.

Anwar menegaskan, kerajaan akan terus pastikan sistem pengangkutan awam yang cekap, berpatutan dan selesa untuk manfaat semua rakyat.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu katanya, Kementerian Pengangkutan juga telah memulakan perolehan 12 gerabak tren penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi keselesaan 115 penumpang, manakala 50 gerabak tren lagi akan diperoleh secara pajakan melalui kerjasama Kerajaan-Kerajaan dengan negara China.

“Perkhidmatan Udara Luar Bandar Sabah Sarawak diteruskan dengan peruntukan lebih RM200 juta, ini termasuk membuka laluan baharu dari Kota Kinabalu ke Layang-layang dan Miri ke Long Banga,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!