Belanjawan 2025: Berita baik buat anak jaga ibu bapa, warga emas
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Belanjawan 2025 memberi berita baik untuk anak-anak yang menjaga ibu bapa dan warga emas di negara ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia susulan kerajaan bercadang supaya pelepasan cukai pendapatan individu berkaitan aktiviti sukan dan penjagaan kesihatan disemak semula bagi memelihara kebajikan kesejahteraan menjamin penjagaan warga emas.
Menurutnya, dalam usaha tersebut, peruntukan kebajikan warga emas akan ditingkatkan mencecah RM1 bilion bagi membiayai bantuan tunai, wang saku institusi warga emas dan pusat aktiviti.
“Inisiatif pertama, pelepasan cukai perbelanjaan pemeriksaan perubatan penuh ibu bapa diperluas untuk meliputi kos pemvaksinan.
“Kedua, pelepasan cukai perbelanjaan peralatan dan aktiviti sukan diperluas kepada ibu bapa,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, inisiatif ketiga melibatkan pelepasan cukai perbelanjaan rawatan perubatan bagi ibu bapa, datuk dan nenek.
“Keempat, pengecualian cukai pendapatan individu ke atas elaun penjagaan anak diperluas meliputi penjagaan bagi kumpulan yang sama.
“Kelima, potongan cukai tambahan bagi majikan yang membayar elaun penjagaan anak turut diperluas,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!