Belanjawan 2025: JKDM perkukuh keselamatan pintu masuk negara

Anis Rizana
Anis Rizana
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan memanfaatkan sepenuhnya peruntukan yang disediakan kerajaan menerusi Belanjawan 2025 Malaysia Madani bagi memperkukuh keselamatan pintu masuk negara.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, pihaknya menyambut baik dan berterima kasih atas pengumuman Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan yang memperuntukkan RM60 juta kepada JKDM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN).

"Ini bagi mempertingkatkan usaha-usaha membanteras aktiviti penyeludupan sekali gus membanteras ketirisan wang rakyat.

"JKDM akan memanfaatkan sepenuhnya peruntukan yang disediakan bagi memastikan setiap sumber digunakan secara optimum dan berkesan demi memperkukuh kawalan dan keselamatan pintu masuk negara," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Tambah Anis Rizana, selain itu, peruntukan yang diberikan turut menyuntik semangat warga JKDM untuk terus menggandakan usaha secara berterusan dalam meningkatkan kutipan hasil serta menangani ketirisan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Parlimen, pada Jumaat berkata, peruntukan itu bertujuan mempertingkat usaha penguatkuasaan dalam membanteras ketirisan wang rakyat.

Sejak 2022 hingga September 2024, KPDN dan JKDM berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dengan hasil rampasan mencecah hampir RM2 bilion.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!