Atur kemasukan warga asing, SPRM tahan dua pegawai penguat kuasa, ejen

SPRM Pulau Pinang menahan dua pegawai agensi penguat kuasa dan seorang warga Bangladesh kerana dipercayai terlibat mengatur kemasukan warga asing menerusi laluan kaunter khas di LTAPP di sini.
SPRM Pulau Pinang menahan dua pegawai agensi penguat kuasa dan seorang warga Bangladesh kerana dipercayai terlibat mengatur kemasukan warga asing menerusi laluan kaunter khas di LTAPP di sini.
A
A
A

GEORGE TOWN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menahan dua pegawai agensi penguat kuasa dan seorang warga Bangladesh kerana dipercayai terlibat mengatur kemasukan warga asing menerusi laluan kaunter khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini.

Dua pegawai agensi penguat kuasa membabitkan seorang lelaki dan seorang wanita berumur lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari hingga 1.30 tengah hari tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang di sini.

Menurut sumber, tangkapan terhadap kedua-dua pegawai agensi penguat kuasa terbabit susulan tangkapan lelaki warga Bangladesh di sebuah hotel di sekitar negeri ini kira-kira jam 9 malam semalam.

"Kedua-dua pegawai ini dipercayai telah bersekongkol dengan lelaki warga Bangladesh berkenaan yang bertindak sebagai ejen bagi mengatur laluan masuk seorang warga Indonesia tanpa melalui pemeriksaan sepatutnya.

"Berdasarkan siasatan awal, lelaki Bangladesh bersama pegawai agensi penguat kuasa lelaki terbabit telah meminta RM4,500 daripada seorang lelaki warga Indonesia yang tiba dengan pesawat melalui LTAPP pada 22 Sept lepas sebagai balasan membantunya masuk ke negara ini," katanya.

Difahamkan, lelaki warga Indonesia berkenaan kemudian memohon masa untuk menyediakan wang sebelum diarahkan pergi ke satu kaunter khas yang dijaga seorang pegawai wanita bagi urusan masuk ke negara ini tanpa melalui pemeriksaan sepatutnya.

SPRM menahan lelaki warga Bangladesh itu semalam selepas dipercayai menerima RM2,000 daripada lelaki warga Indonesia terbabit.

Lelaki warga Bangladesh itu direman tujuh hari bermula hari ini manakala permohonan reman terhadap dua pegawai agensi penguat kuasa pula akan dibuat di Mahkamah Majistret Georgetown esok.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap ketiga-tiga suspek berkenaan.

Beliau berkata kedua-dua pegawai agensi penguat kuasa terbabit disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 manakala lelaki warga Bangladesh itu pula disiasat di bawah Seksyen 16(b)(B) akta yang sama. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!