Belanjawan 2025: Sabah, Sarawak terima peruntukan tertinggi

Fadillah ketika sidang akhbar selepas pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Fadillah ketika sidang akhbar selepas pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peruntukan pembangunan Sabah dan Sarawak terus diberi keutamaan dalam Belanjawan 2025 dan yang tertinggi antara negeri iaitu masing-masing RM6.7 bilion dan RM5.9 bilion ringgit.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Pemberian Khas Sarawak tidak pernah dikaji sejak 1969 namun di bawah Kerajaan Madani, kadarnya dinaikkan kepada RM300 juta berbanding RM16 juta bagi Sarawak dan RM125.6 juta untuk Sabah sebelum ini.

Beliau yang turut bertanggungjawab dalam urusan hal ehwal Sabah dan Sarawak menjelaskan, mulai 2025, kerajaan bercadang menaikkan kadar Pemberian Khas Sarawak dan Sabah sekali ganda lagi kepada RM600 juta.

“Sebanyak 17 pakej kerja Pan Borneo Sabah Fasa 1B telah dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST) dengan nilai kontrak RM9.7 bilion. Ini meliputi jajaran Kota Belud ke Kudat, Tawau ke Kampung Lot M dan Telupid ke Ranau. Sementara Pan Borneo Sarawak dijangka siap November 2024.

“Secara keseluruhan, Projek Pan Borneo Sarawak dan Sabah telah melibatkan kos RM25.1 bilion. Kerajaan juga telah memuktamad empat pakej kerja Sabah Sarawak LinkRoad (SSLR) Fasa 2 bernilai RM7.4 bilion.

“Dua pakej sudah dianugerahkan manakala baki pakej sebelum hujung tahun,” katanya ketika sidang akhbar selepas pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Tambah Fadillah, kerajaan juga bersetuju melaksanakan Projek Pembesaran Lapangan Terbang Tawau, Sabah dan Lapangan Terbang Miri, Sarawak dengan kos RM253 juta.

Selain itu, kerajaan Persekutuan dan Sarawak bekerjasama membangunkan Pusat Kanser Sarawak yang dianggarkan RM1 bilion.

Artikel Berkaitan:

“Saya memuji kesediaan Sarawak yang mendahulukan pembiayaan bagi pembinaan projek.

“Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri berpaksikan rakyat didahulukan, sekali gus membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menjamin kesejahteraan rakyat, mengangkat martabat rakyat dan menjunjung hak rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) turut menyambut baik Belanjawan 2025 yang dilihat mengangkat martabat rakyat menerusi lonjakan reformasi ekonomi daripada sudut kemampanan sumber tenaga dan air.

Belanjawan 2025 jelasnya, memfokuskan kepada pembangunan sektor tenaga dan air, dengan jumlah peruntukan secara keseluruhan sebanyak RM4.95 bilion, meliputi perbelanjaan mengurus sebanyak RM362.67 juta dan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM4.59 bilion.

“Berdasarkan situasi semasa perubahan iklim yang semakin ketara hingga mengakibatkan cuaca ekstrem dan mendorong kepada kejadian banjir, PETRA terus komited untuk melaksanakan projek tebatan banjir sebagaimana diumumkan dalam Ucapan Belanjawan 2025.

“Setakat ini, Kerajaan telah berjaya menyiapkan lapan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM540 juta. Seterusnya, 12 projek RTB dengan kos RM3 bilion telah dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST) pada tahun 2024 dan berjalan mengikut jadual

“Dalam menghadapi musibah banjir kilat yang melanda ibu kota dan beberapa bandar lain, sebagai langkah segera, penyaluran RM150 juta kepada PBT dan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk mulakan kerja pembersihan longkang dan pengorekan sungai,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!