Belanjawan 2025: Sabah alu-alukan keutamaan berterusan kepada negeri

Hajiji mengikuti siaran langsung pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu.
Hajiji mengikuti siaran langsung pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Belanjawan Madani 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar pada Jumaat, mencerminkan langkah progresif kerajaan Perpaduan untuk menyediakan kehidupan yang sejahtera kepada rakyat tanpa menjejaskan kesejahteraan ekonomi negara.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peruntukan RM6.7 bilion untuk Sabah tahun depan adalah peningkatan sebanyak 0.45 peratus berbanding RM6.67 bilion pada tahun ini.

"Ini sudah memadai untuk meneruskan projek pembangunan pada tahun akhir Rancangan Malaysia Ke-12 pada tahun depan," katanya selepas menonton siaran langsung Belanjawan Negara dari Dewan Rakyat di Menara Kinabalu.

Turut hadir Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.

Hajiji berkata lagi, kerajaan negeri juga menghargai Perdana Menteri yang meletakkan kepentingan hak Sabah yang tidak boleh dipertikaikan seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Kerajaan negeri menyambut baik keputusan kerajaan Persekutuan menaikkan bayaran khas interim Sabah daripada RM300 juta kepada RM600 juta tahun depan, yang turut dimasukkan dalam Belanjawan.

"Begitu juga tumpuan berterusan kerajaan Persekutuan untuk merapatkan jurang pembangunan wilayah melalui penyediaan kemudahan asas seperti jalan raya, air dan bekalan elektrik amat dialu-alukan," katanya.

Katanya lagi, kerajaan Sabah turut mengalu-alukan pengumuman bahawa surat setuju terima (SST) bagi 17 pakej di bawah Fasa 1B Pan Borneo Sabah, termasuk jajaran Kota Belud-Kudat; Tawau ke Kampung Lot M dan Telupid ke Ranau bernilai RM9.7 bilion telah pun dikeluarkan.

Artikel Berkaitan:

Menerusi pengumuman bahawa kerajaan Persekutuan telah memuktamadkan pakej kerja Sabah Sarawak Link Road (SSLR) Fasa 2 bernilai RM7.4 bilion, dengan dua pakej telah dianugerahkan dan bakinya sebelum akhir tahun ini juga turut dialu-alukan.

"Kami juga mengalu-alukan persetujuan kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan projek naik taraf Lapangan Terbang Tawau," katanya sambil menambah semua itu tidak termasuk peruntukan untuk membaiki sekolah daif di negeri ini.

Susulan pembentangan tersebut, Hajiji menyifatkan bahawa Belanjawan 2025 jelas menunjukkan ekonomi Malaysia berada dalam aliran semakin meningkat dan kukuh.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!