Percepat laksana gaji minimum - MTUC

Mohd Effendy
Mohd Effendy
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk mempercepatkan tempoh pelaksanaan kenaikan gaji minimum bagi mengelakkan pekerja terus berdepan dengan peningkatan kos sara hidup.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, kenaikan gaji minimum itu adalah langkah penting kerana mampu meringankan beban yang semakin meningkat akibat inflasi dan tekanan ekonomi global.

Menurutnya, ia selaras dengan hasrat negara untuk memajukan ekonomi yang lebih adil dan memastikan tiada golongan pekerja tertinggal dalam pembangunan negara.

“MTUC menegaskan bahawa langkah ini perlu dilaksanakan dengan penguatkuasaan yang tegas. Majikan mesti bertanggungjawab sepenuhnya untuk mematuhi kadar gaji minimum baru ini, tanpa sebarang percubaan untuk mengelak atau mengeksploitasi pekerja.

Penguatkuasaan undang- undang berkaitan perlu diperkukuhkan untuk memastikan hak pekerja dilindungi,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan bersetuju untuk menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700, berkuat kuasa 1 Februari 2025.

Jelasnya, penstrukturan ekonomi hanya dianggap berjaya apabila rakyat meraih gaji dan upah yang bermakna untuk menjalani hidup dengan lebih selesa.

Bagaimanapun, Anwar memberitahu bahawa kerajaan bersetuju untuk menangguh kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh enam bulan, iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohd Effendy memaklumkan bahawa MTUC turut menggesa majikan-majikan besar yang mempunyai kemampuan kewangan untuk menawarkan gaji lebih tinggi daripada kadar minimum ditetapkan.

“Kami amat berharap dan mengalu-alukan tindakan majikan yang sedia memberikan gaji yang lebih tinggi sebagai satu langkah proaktif dalam menghargai sumbangan pekerja serta membantu mereka menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Langkah ini bukan sahaja menunjukkan tanggungjawab sosial majikan tetapi juga mampu meningkatkan produktiviti dan motivasi pekerja,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berkata, MTUC percaya dengan kenaikan gaji minimum bukan sahaja akan meningkatkan taraf hidup pekerja tetapi memacu pertumbuhan ekonomi melalui peningkatan kuasa beli rakyat.

Menurutnya, ia akan memberi manfaat kepada ekonomi negara secara keseluruhan memandangkan perbelanjaan domestik lebih tinggi akan merancakkan perniagaan tempatan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!