Belanjawan 2025 kukuhkan kedudukan, angkat martabat negara

Wisma Putra
Wisma Putra
A
A
A

SHAH ALAM - Belanjawan 2025 diyakini memangkin reformasi ekonomi, mengukuhkan kedudukan dan mengangkat martabat negara di mata dunia.

Kementerian Luar dalam kenyataan berkata, menerusi belanjawan tersebut, pihaknya akan memastikan usaha memperkukuh dan mempertahankan kepentingan strategik negara dalam pelbagai isu sejagat diteruskan.

“Ini termasuk isu berkaitan keamanan serantau, pembangunan mampan, isu Laut China Selatan, konflik Palestin-Israel, keterjaminan makanan dan perubahan iklim,” katanya pada Jumaat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.

Kenyataan Kementerian Luar pada Jumaat
Kenyataan Kementerian Luar pada Jumaat

Tumpuan utama Belanjawan 2025: Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan Mensejahtera Rakyat merupakan belanjawan ketiga oleh kerajaan Madani di bawah pimpinan Anwar.

Belanjawan ini juga adalah yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.

Menurut kenyataan kementerian itu, Belanjawan 2025 juga memberi suntikan positif kepada Wisma Putra untuk mempertingkatkan perkhidmatan berteraskan rakyat secara telus, pantas dan berkesan.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, usaha berkenaan merangkumi penyampaian perkhidmatan konsular kepada rakyat dan pemberian bantuan kemanusiaan kepada mereka yang ditimpa musibah atau terkandas di luar negara.

“Selain itu, Wisma Putra juga menghargai peruntukan yang diberikan bagi memperkasakan modal insan yang akan dimanfaatkan untuk meningkatkan kemahiran dan kompetensi warga kementerian, disamping memastikan kebajikan mereka terus terpelihara.

“Belanjawan 2025 juga menyalurkan peruntukan bagi memperkasakan Pejabat Perwakilan Diplomatik dengan mengganti aset-aset lama, menaik taraf dan membaikpulih bangunan-bangunan milik kerajaan di luar negara,” ujarnya.

Tambahnya, pembentangan belanjawan kali ini turut memberi penekanan kepada inisiatif ke arah menaikkan siling potensi ekonomi negara dan meningkatkan taraf hidup semua lapisan rakyat di Malaysia.

“Kementerian ini menyokong Belanjawan 2025 yang merupakan cerminan kepada usaha

berterusan Kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara dan merancakkan semula ekonomi Malaysia untuk menjadi ekonomi utama Asia,” menurutnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!