Gelombang dari bot nelayan punca bot regata karam

Anggota bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa.
Anggota bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa.
A
A
A

KUCHING - Kejadian bot karam sewaktu sesi latihan regata di Sungai Sarawak berhampiran Royal Bay Commercial Centre, Jalan Buruh Bintawa, di sini berpunca daripada gelombang pergerakan sebuah bot nelayan yang datang dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, gelombang itu telah menyebabkan bot regata membawa 16 peserta yang juga kakitangan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) itu, dimasuki air.

"Jadi air telah masuk ke dalam bot regata menyebabkannya karam dan kesemua 16 peserta dalam bot berkenaan berusaha menyelamatkan diri.

Operasi SAR akan bersambung jam 6 pagi esok dengan menumpukan kepada dua bahagian.
Operasi SAR akan bersambung jam 6 pagi esok dengan menumpukan kepada dua bahagian.

"Sejumlah 11 peserta lelaki telah berjaya menyelamatkan diri, namun lima lagi mangsa serta bot yang karam itu masih belum ditemukan,” katanya kepada pemberita di pusat operasi mencari dan menyelamat di Royal Bay Commercial Centre, di sini, pada Jumaat.

Mohd Farhan Lee berkata, SAR yang dijalankan sejak jam 4.37 petang dan tamat kira-kira 7.30 malam itu melibatkan 12 agensi dengan lapan aset serta dua ambulans.

Beliau berkata, operasi berkenaan akan bersambung jam 6 pagi esok dengan menumpukan kepada dua bahagian.

"Hari kedua SAR esok akan dipecahkan kepada dua bahagian, iaitu melalui lokasi kejadian ke arah muara iaitu menuju laut dan satu lagi muara sungai ke bahagian atas.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan dibantu juga oleh nelayan tempatan dan kita minta mana-mana pihak yang ingin membantu operasi ini perlu diselaraskan dengan polis,” katanya yang turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu.

Mohd Farhan Lee berkata, kesemua peserta yang terlibat sedang menjalani latihan bagi acara kemuncak perlumbaan Festival Regata Sarawak-Kuching Waterfront 2024, pada 1 hingga 3 November.

"Berikutan insiden ini, kita juga akan pantau dan pasukan regata lain yang akan membuat latihan agar pentingkan keselamatan dan memakai jaket keselamatan sewaktu sesi latihan,” katanya.

Terdahulu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan mereka yang hilang ialah Mohamad Ikhmal Sama'ail, Majurie Maharuf, Mohd Afiq Isyamudin Asaari, Mohamad Khairul Bidin dan Muhammad Khairul Hisyam Kasturi, berusia lingkungan 22 hingga 35 tahun. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!