Polis buru lima lelaki bersenjata parang samun kedai runcit di Sarikei

Polis sedang memburu lima lelaki yang terbabit dalam kes samun bersenjatakan parang di sebuah kedai runcit di Jalan Meruton dekat sini, awal pagi semalam. Gambar hiasan
Polis sedang memburu lima lelaki yang terbabit dalam kes samun bersenjatakan parang di sebuah kedai runcit di Jalan Meruton dekat sini, awal pagi semalam. Gambar hiasan
A
A
A

SARIKEI - Polis sedang memburu lima lelaki yang terbabit dalam kes samun bersenjatakan parang di sebuah kedai runcit di Jalan Meruton dekat sini hingga menyebabkan kerugian RM3,500 pada awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sarikei, Pemangku Superintenden Aswandy Anis berkata, kejadian berlaku pada jam 4.13 pagi ketika seorang juruwang kedai didatangi lima lelaki bertopeng dan bersenjatangkan parang.

"Semasa melakukan jenayah ini, salah seorang mereka telah meletakkan parang di leher mangsa serta menolak badan mangsa ke bawah meja. Kelima-lima suspek telah menggeledah kedai dan mengambil pelbagai barangan sebelum melarikan diri menggunakan sebuah kereta jenis Honda,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu tular rakaman video di media sosial yang memaparkan sekumpulan suspek merompak sebuah kedai runcit.

Menurut Aswandy, pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang melibatkan rompakan berkumpulan dengan senjata.

Pihak polis juga meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhamad Helmi di talian 013-3787194. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!