Messi tidak tolak kemungkinan beraksi di Piala Dunia 2026
KAPTEN Argentina, Lionel Messi tidak menolak kemungkinan untuk beraksi pada Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
"Saya cuba untuk tidak mendahului diri sendiri. Saya fokus untuk menikmati setiap hari. Apabila tiba masanya, kita akan lihat. Saya tidak suka tergesa-gesa. Harap-harap, saya boleh terus beraksi di tahap ini kerana ia membuatkan saya gembira," kata Messi seperti dipetik oleh akhbar Marca pada Jumaat.
Messi, 37, menekankan bahawa dia lebih fokus untuk mengekalkan prestasi terbaiknya berbanding risau tentang pencapaian masa depan.
"Saya lebih memberi tumpuan kepada perasaan diri saya sekarang, memastikan saya gembira dan bermain dengan baik. Sama ada saya akan beraksi di Piala Dunia 2026 atau tidak... kita akan lihat apabila tiba masanya," katanya.
Messi juga menegaskan bahawa "dia tidak datang ke AS untuk bersara." Bekas bintang Barcelona itu meninggalkan Paris Saint-Germain pada Julai 2023 untuk menyertai kelab MLS, Inter Miami.
"Saya datang untuk membantu membina sesuatu yang istimewa dengan kelab ini. Kami bernasib baik memenangi lebih banyak kejuaraan, dan kami masih mendambakan lebih banyak kejuaraan," tambahnya. - Bernama/dpa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!