Anak panah tersasar tusuk mata kiri

Gambar mangsa tertusuk anak panah yang tular di media sosial.
Gambar mangsa tertusuk anak panah yang tular di media sosial.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang atlet memanah sekolah tertusuk anak panah di bahagian mata kiri ketika sedang menjalani latihan di Sekolah Menengah Kebangsaan Gurun petang tadi.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 3.30 petang ketika mangsa bersama tiga lagi rakan atlet sedang menjalani latihan di padang sekolah.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, saksi memaklumkan mangsa secara tiba-tiba melintas di hadapan pelajar lain yang sedang menjalani latihan sebelum sasaran terlepas secara tidak sengaja dan mengenai bahagian mata kiri pelajar Tingkatan Empat itu.

Menurutnya, tempat latihan adalah di bawah garaj kereta berdekatan padang sekolah membabitkan dua latihan

"Ketika kejadian, atlet terbabit sedang membuat latihan pemanahan badan pada target lima meter manakala mangsa dan dua rakan lagi berlatih memanah di sasaran 70 meter.

"Ketika atlet itu memegang pemanah secara tiba-tiba mangsa melintas di hadapannya, dalam usaha menurunkan pemanah, anak panah terlepas dan menuju ke arah kepala dan mengenai pada mata kiri mangsa menyebabkannya tembus sehingga ke telinga," katanya.

Beliau berkata, mangsa telah dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim dan pembedahan berjaya mengeluarkan anak panah tersebut.

"Doktor mengesahkan anak panah mengenai bahagian saraf sebelah mata kiri dan mangsa kini dalam keadaan stabil,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, sebelum ini atlet terbabit dan mangsa pernah mewakili Kedah dalam acara memanah bawah 15 tahun dan sedang membuat persiapan mewakili Daerah Kuala Muda untuk bertanding di peringkat negeri dalam acara memanah pada 19 Februari ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!