Liga Super: KL City bangkit tundukkan Kelantan 3-1

Pemain Kuala Lumpur City FC Brendan Gan (dua dari kanan) cuba mengawal pergerakan pemain Kelantan Darul Naim FC pada Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur malam ini. Foto Bernama
Pemain Kuala Lumpur City FC Brendan Gan (dua dari kanan) cuba mengawal pergerakan pemain Kelantan Darul Naim FC pada Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur malam ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA Lumpur City (KL City) FC bangkit daripada ketinggalan satu gol sebelum menewaskan Kelantan Darul Naim (KDN) FC 3-1 pada perlawanan Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini malam ini.

Kedua-dua pasukan memulakan permainan dengan penuh berhati-hati mengakibatkan permainan menjadi hambar dan bola banyak berlegar di tengah padang pada separuh masa pertama.

Suasana bagaimanapun berubah pada babak kedua perlawanan dengan KDN FC berjaya memperoleh gol pembukaan menerusi jaringan Washington Brendao pada minit ke-57.

Kegembiraan KDN FC, kendalian Park Jaehong bagaimanapun tidak kekal lama apabila KL City menyamakan kedudukan menerusi jaringan Nicolas Ryan Swirad yang memanfaatkan kekalutan di depan gawang dikawal Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy selang tujuh minit kemudian.

Pertukaran beberapa pemain jelas membawa kesan positif buat KL City apabila membantu kapten pasukan Paulo Josue meledak dua gol masing-masing pada minit ke-80 dan minit kecederaan sekali gus membawa pulang tiga mata penuh buat pasukan.

Keputusan itu menyaksikan KL City kini menghuni tangga keenam dengan mengumpul 14 mata manakala KDN FC kekal di tangga kedua tercorot dengan menghimpun enam mata selepas mengharungi 12 perlawanan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!