Satu makanan hanya RM1!

Menerusi penganjuran program 'Satu Ringgit Satu Rasa' orang ramai berpeluang merasai pelbagai makanan tradisi dengan harga RM1.
Menerusi penganjuran program 'Satu Ringgit Satu Rasa' orang ramai berpeluang merasai pelbagai makanan tradisi dengan harga RM1.
A
A
A

PUCHONG - 'Satu Ringgit Satu Rasa'! Itu promosi dilakukan syarikat G313B Ventures Sdn Bhd bagi mempromosikan makanan tradisi rakyat Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Pengarah Acaranya, Nik Nor Ashikin Nik Abdul Majid berkata, program itu selaras penganjuran Karnival Makanan Tradisi Rakyat Malaysia yang berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 27 Februari hingga 1 Mac ini.

Menurutnya, program yang turut mendapat tajaan Yayasan Winner Emperor Sedunia itu akan menjelajah beberapa negeri termasuk Perak, Terengganu dan Sabah.

“Istimewanya program ini, pengunjung berpeluang menikmati makanan secara percuma menggunakan kupon diberi pada hari pertama penganjurannya.

“Sepanjang penganjuran karnival ini, lebih 100 makanan tradisi dapat dirasai dengan harga hanya RM1,” katanya ketika sidang akhbar yang turut dihadiri Penasihat Yayasan Winner Emperor Sedunia, Datuk Seri Liow Soon Hee.

(Duduk dari kiri) Nik Nor Ashikin, Khairul Husni dan Soon Hee pada sidang media bagi mempromosi Karnival Makanan Tradisi Rakyat Malaysia yang bakal berlangsung di MaTiC, Jalan Ampang, Kuala Lumpur bermula pada 27 Februari.
(Duduk dari kiri) Nik Nor Ashikin, Khairul Husni dan Soon Hee pada sidang media bagi mempromosi Karnival Makanan Tradisi Rakyat Malaysia yang bakal berlangsung di MaTiC, Jalan Ampang, Kuala Lumpur bermula pada 27 Februari.

Turut hadir, Pengarah G313B Ventures, Khairul Husni Othman dan Presiden Persatuan Pelancongan Warisan Malaysia (MyTHA), Datuk Seri Megat Hadzlie Adlan.

Nik Nor Ashikin berkata, selain makanan tradisi, pengunjung juga berpeluang menyaksikan persembahan muzik dan permainan tradisional pelbagai kaum.

Artikel Berkaitan:

“Harap karnival ini mendapat sokongan rakyat Malaysia untuk menjayakannya sekali gus ia akan menjadi program tahunan dalam sektor pelancongan,” katanya.

Sementara itu, Megat Hadzlie berkata, pihaknya teruja ada pihak yang menaja program tersebut bagi menjayakannya.

Katanya, karnival itu dapat membantu mempromosi makanan tradisi rakyat Malaysia sebagai salah satu produk pelancongan yang kian berkembang.

“Inisiatif ini dilihat dapat membantu pengusaha makanan tradisi tempatan dalam memperkenalkan menu-menu tradisi istimewa kepada rakyat.

“Karnival ini juga bukan sahaja mensasarkan kepada pelancong domestik malah pelancong luar negara yang datang berkunjung ke Malaysia khususnya Kuala Lumpur.

“Objektif penganjuran karnival ini adalah bagi menyatukan rakyat Malaysia berbilang bangsa, kaum dan agama melalui pelbagai menu makanan yang disediakan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!