Belanjawan 2025: LTAT tumpu angkat daya saing negara, pertumbuhan inklusif

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Belanjawan 2025 memberikan tumpuan kepada usaha mengangkat daya saing negara, mempromosikan pertumbuhan inklusif dan melonjakkan tadbir urus.

Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Mohammad Ashraf Md Radzi berkata, fokus tersebut seiring dengan komitmen lembaga itu dalam mencipta nilai jangka panjang untuk negara.

Menurutnya, dengan peruntukan sebanyak RM440 bilion kepada pasaran modal domestik dan RM120 bilion untuk pelaburan langsung domestik melalui ikhtiar GEAR-uP.

“LTAT bersedia merebut peluang baharu untuk menyumbang secara signifikan kepada kemampanan ekonomi negara.

“Sebagai pelabur institusi strategik, fokus kami adalah seiring dengan kepentingan nasional dan matlamat pembangunan utama, di samping memastikan masa depan yang lebih makmur untuk perwira negara kita,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Mohammad Ashraf, belanjawan yang progresif meletakkan asas kukuh bagi kemajuan ekonomi Malaysia dan pihaknya komited memainkan peranan penting mencerna hasil yang positif.

Kata beliau, pihaknya optimis belanjawan kali ini akan mempercepatkan momentum ekonomi, mempromosikan pembangunan mampan dan menyediakan ekosistem yang kondusif untuk pelaburan.

“Melalui pelaburan strategik kami, LTAT berhasrat mengurangkan kebergantungan negara terhadap bekalan kritikal yang diimport.

Artikel Berkaitan:

“Pengeluaran insulin dan vaksin halal tempatan oleh Pharmaniaga, sebagai contoh merupakan langkah penting dalam memperkukuh infrastruktur kesihatan negara dan ini akan mengurangkan kebergantungan kepada import serta memastikan akses yang lebih luas kepada penjagaan kesihatan berkualiti tinggi dan mampu milik untuk semua rakyat Malaysia selaras dengan Belanjawan 2025,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!