Kejutan 'masam manis' Belanjawan 2025

Laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Belanjawan 2025 Malaysia Madani Ketiga terus merekod sejarah sebagai dokumen belanjawan tertinggi yang pernah dibentangkan kerajaan dengan nilai keseluruhan RM421 bilion.

Berteraskan pendekatan fiskal mengembang walaupun pada masa sama bertanggungjawab mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat, belanjawan kali ini meliputi RM335 bilion bagi perbelanjaan mengurus, perbelanjaan pembangunan (RM86 bilion) dan RM2 bilion bagi simpanan luar jangka.

Segak memakai busana baju Melayu berwarna kelabu lembut, Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik perhatian umum apabila membawa beg fail warna hitam bermotifkan tenunan songket Kelantan yang mengandungi teks ucapan Belanjawan 2025 untuk dibacakan dalam sidang Parlimen.

Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Jumaat.
Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Jumaat.

Berucap hampir tiga jam, Perdana Menteri ke-10 (PMX) itu hakikatnya mengumumkan banyak kejutan besar yang pastinya memberi impak signifikan terhadap kesejahteraan 33 juta rakyat Malaysia pada tahun hadapan.

Pengumuman terbesar yang menjadi tumpuan rakyat pastinya terarah kepada keputusan Kerajaan Perpaduan untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025, sesudah rasionalisasi subsidi diesel dikuatkuasakan pada tahun ini.

Ujar Anwar, harga petrol yang rendah menyebabkan kerajaan menanggung jumlah subsidi RON95 mencecah RM20 bilion pada tahun 2023.

"Kenyataan tidak dapat dimungkiri adalah bahawasanya,warga asing dan 15 peratus teratas pengguna maha kaya menikmati 40 peratus subsidi petrol RON95 bernilai RM8 bilion.

Artikel Berkaitan:

"Diperingatkan bahawa dana RM8 bilion ini lebih baik dimanfaatkan bagi peningkatan kemudahan pendidikan, kesihatan serta pengangkutan awam," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat.

JAMINAN SUBSIDI

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Tambun itu memberi jaminan untuk mengekalkan subsidi majoriti 85 peratus rakyat marhaen, sebagaimana pelaksanaan penyasaran subsidi elektrik dengan anggaran berjumlah RM12 bilion.

Satu lagi kejutan menarik dalam ucapan Belanjawan 2025 adalah pengumuman Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) yang dinaikkan kepada lapan peratus oleh Kerajaan Madani pada tahun 2024, bakal dikuatkuasakan dengan lebih progresif dan tidak membebankan rakyat.

Jelas Anwar, skop Cukai Perkhidmatan akan diperluas meliputi perkhidmatan komersial antaranya perniagaan seperti perkhidmatan kewangan berasaskan fi dengan kerajaan akan mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh berkepentingan sebelum memuatkan skop perluasan dan kadar cukai.

Tidak terhenti setakat itu, Anwar turut mengumumkan pengenalan cukai dividen pada kadar dua peratus ke atas bagi pendapatan dividen melebihi RM100,000 yang diterima pemegang saham individu bermula 2025.

Selain itu, atas tekad menggalakkan penggunaan teknologi rendah karbon, Anwar mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan cukai karbon ke atas industri besi dan keluli serta tenaga di Malaysia menjelang tahun 2026.

Paling menarik, menerusi kempen gerakan 'War On Sugar' dilancarkan Kerajaan Madani, PMX komited mencadangkan kenaikan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa mulai 1 Januari 2025 sebanyak 40 sen seliter

Menepati ramalan ramai pakar ekonomi dan pengkritik pendidikan tempatan, Anwar juga menyentuh mengenai inisiatif kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi pendidikan dan kesihatan.

Sebagai contoh, beliau menegaskan kerajaan bercadang mengenakan sedikit kenaikan yuran sekolah kepada anak golongan maha kaya (T15) di sekolah berasrama penuh, sekolah sains, institusi pengajian awam dan pusat latihan teknikal bagi mengimbangi keperluan 85 peratus pelajar dari keluarga berpendapatan rendah.

Dalam aspek penyasaran subsidi kesihatan pula, Kerajaan Madani bersedia mempertimbangkan penyediaan pilihan perkhidmatan kesihatan berbayar pada kadar berpatutan kepada pesakit.

Melalui keseluruhan agenda reformasi cukai dan rasionalisasi subsidi, Anwar yakin kadar kutipan hasil bagi tahun hadapan diunjurkan meningkat sebanyak RM340 bilion, berbanding RM322 bilion yang dijangka dicapai pada tahun ini.

Bahkan dalam ucapan Belanjawan 2025, Anwar mendedahkan sekarang bukan masanya untuk melaksanakan projek pembangunan mega dengan belanja pembangunan merosot daripada RM90 bilion pada belanjawan tahun lalu kepada RM86 bilion.

BERITA BAIK

Melalui langkah penjimatan dilaksanakan, Anwar berkeyakinan kerajaan mampu melaksanakan kenaikan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.

Pengumuman itu pastinya satu berita baik kepada golongan pekerja di negara ini pada saat negara berdepan isu kenaikan kos sara hidup dan harga barangan asas yang berlarutan.

Selain itu, rakyat Sabah dan Sarawak turut menerima khabar gembira apabila Anwar mengumumkan bahawa geran khas kepada Sabah dan Sarawak akan dinaikkan kepada RM600 juta setahun mulai 2025.

Kerajaan pimpinan Anwar sebelum ini menaikkan kadar geran tersebut kepada RM300 juta untuk Sarawak, dan RM125.6 juta untuk Sabah pada tahun ini.

Kejutan gembira lain turut terarah kepada bakal pembeli rumah pertama apabila Anwar mengumumkan cadangan memberikan perlepasan cukai individu bermula RM5,000 hingga RM7,000 ke atas bayaran faedah pinjaman perumahan.

Keluhan dan rungutan rakyat terhadap karenah birokrasi ketat dalam sistem perkhidmatan awam ternyata didengari Kerajaan Madani apabila Anwar berikrar orang ramai tidak lagi perlu beratur berjam-jam untuk mendapatkan perkhidmatan kerajaan.

Bagi tujuan itu, kerajaan akan memperuntukkan RM5 juta kepada Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) untuk bekerjasama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia bagi melaksanakan reformasi ke atas birokrasi di semua agensi.

Harapan golongan berpendapatan rendah untuk menerima peningkatan sokongan bantuan tunai daripada Kerajaan Madani turut tercapai apabila gabungan kuantum untuk Bantuan Tunai Rahmah (STR) dan Bantuan Keperluan Rahmah (Sara) akan meningkat kepada RM4,700 tahun depan.

"4.1 juta isi rumah akan menerima Sara sebanyak RM100 sebulan mulai April tahun depan. Individu bujang pula, akan menerima RM600 dalam STR," kata Anwar.

Selain itu, Anwar mengumumkan persetujuan kerajaan untuk memberi Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak.

Menurutnya, bantuan khas itu turut diberikan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen sebanyak RM250.

Antara pengumuman menarik lain pada Belanjawan 2025 adalah kerajaan bercadang untuk mewajibkan semua pekerja bukan warganegara mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara berfasa.

Selain itu, buat pertama kalinya dalam sejarah Kerajaan Madani bersetuju supaya 20.2 hektar daripada pembangunan projek strategik Bandar Malaysia diperuntukkan sebagai tanah rizab Melayu.

Pada masa sama, Anwar berjanji akan menubuhkan sebuah Pasukan Reformasi Perundangan bagi mengkaji semula lebih 3,000 undang-undang lapuk di Malaysia agar seiring dengan peredaran masa.

Paling penting, beliau turut mengesahkan program perintis untuk Khidmat Negara 3.0 akan dilaksanakan, dengan peruntukan sebanyak RM50 juta.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!