Hidupkan semula bangunan terbiar beri manfaat jangka masa panjang
PENGUMUMAN kerajaan yang mahu meneliti semua ruang dan bangunan kosong milik agensi, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk dimanfaatkan bagi tujuan lain adalah wajar.
Jika dilihat untuk kebaikan jangka masa panjang, banyak manfaat yang bakal diperoleh daripada inisiatif tersebut antaranya kelestarian alam sekitar, penggunaan sumber efisien dan pembangunan komuniti.
Selain itu, bangunan terbiar seperti kuarters guru, kawasan perumahan atau rumah tinggalan mungkin boleh dibangunkan semula sebagai penempatan golongan gelandangan atau miskin tegar.
Seperti cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu semua ruang dan bangunan kosong itu akan dimanfaatkan untuk tujuan prasekolah, taska dan pusat latihan kemahiran.
Beliau juga mengarahkan untuk mengoptimumkan sumber termasuk menilai keperluan perjawatan di pejabat perwakilan dan agensi luar negara.
Katanya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Wisma Putra sudah mengenal pasti 64 daripada 126 pejabat luar negara tidak beroperasi di bawah satu bumbung.
Lantaran itu, Anwar berkata, kerajaan memutuskan supaya operasi mereka dipindahkan ke Pejabat Canseri atau digabungkan dengan pejabat berdekatan bagi menjimatkan kos sekali gus mengoptimumkan sumber.
Secara keseluruhan, penggunaan ruang dan bangunan kosong untuk tujuan prasekolah, taska serta pusat latihan kemahiran membawa kepada banyak kebaikan.
Antaranya ialah prasekolah dan taska membantu menyediakan pendidikan awal yang penting bagi perkembangan kanak-kanak, meningkatkan peluang mereka untuk berjaya di masa hadapan.
Pada masa sama, ia juga akan menyumbang kepada pembangunan kemahiran dengan memberi peluang kepada individu untuk memperoleh kemahiran baharu, meningkatkan kebolehpasaran dan menyokong pertumbuhan ekonomi.
Inisiatif ini turut dilihat mampu mengurangkan kadar pengangguran menerusi penyediaan latihan kemahiran supaya lebih ramai individu dapat memasuki pasaran kerja.
Kesimpulannya, kerajaan boleh meneruskan inisiatif itu bergantung kepada kesesuaian kerana ia bukan hanya memberi manfaat dari segi ekonomi tetapi juga menyokong pembangunan sosial dan menjadikan kawasan tersebut lebih dinamik serta berdaya saing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!