Belanjawan 2025 kukuh tumpuan terhadap kelestarian, pertumbuhan inklusif

Belanjawan 2025 mengukuhkan tumpuan kerajaan terhadap kelestarian fiskal, pertumbuhan inklusif dan dasar transformasi ekonomi negara.
Belanjawan 2025 mengukuhkan tumpuan kerajaan terhadap kelestarian fiskal, pertumbuhan inklusif dan dasar transformasi ekonomi negara.
A
A
A

SHAH ALAM - Belanjawan 2025 mengukuhkan tumpuan kerajaan terhadap kelestarian fiskal, pertumbuhan inklusif dan dasar transformasi ekonomi negara.

Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah Nasional), Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, ia sekali gus mencapai keseimbangan tepat bagi memperkukuhkan daya tahan Malaysia di tengah-tengah ketidaktentuan global ketika ini.

"Ini selaras dengan matlamat Khazanah Nasional untuk menyampaikan nilai mampan bagi negara," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.

Tumpuan utama Belanjawan 2025: Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan Mensejahtera Rakyat merupakan belanjawan ketiga oleh kerajaan Madani di bawah pimpinan Anwar.

Belanjawan ini juga adalah yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.

Ujar Amirul Feisal, Khazanah Nasional dan syarikat-syarikat portfolionya kekal selaras dengan visi Belanjawan 2025 dan sedia menyokong agenda tersebut selaras dengan strategi organisasinya iaitu memajukan Malaysia.

Menurutnya, sejajar dengan usaha berkenaan, pihaknya akan terus memacu peruntukan strategik, membangunkan modal insan berkualiti tinggi, memperkasa syarikat permulaan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), memperjuangkan kelestarian dan melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bermakna.

Artikel Berkaitan:

"Ini termasuk, seperti yang dinyatakan dalam ucapan Belanjawan, komitmen RM1 bilion kami kepada National Fund-of-Funds (NFOF) yang bertujuan untuk menyokong pertumbuhan dana modal teroka di Malaysia.

"Selain itu, komitmen RM1 bilion untuk mengukuhkan industri semikonduktor China selaras dengan inisiatif GEAR-uP oleh Kementerian Kewangan (MOF), komitmen RM1 bilion untuk membangunkan Syarikat Peringkat Pertengahan di Malaysia.

"Menyokong agenda budaya dan warisan negara melalui pemulihan tapak warisan ikonik seperti Bangunan Sultan Abdul Samad dan bangunan Carcosa Seri Negara," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!