'Sekolah daif, penyelenggaraan kemudahan diharap selesai'

Anuar
Anuar
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa isu kritikal seperti sekolah daif, penyelenggaraan kemudahan, keciciran pendidikan dan jurang digital diharap dapat diselesaikan dengan peruntukan Belanjawan 2025 sepertimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Anuar Ahmad bagaimanapun berkata, tiga tumpuan utama sektor pendidikan menerusi Belanjawan 2025 iaitu menaik taraf dan menyelenggara infrastruktur pendidikan, menyediakan peruntukan bantuan kepada murid miskin serta memperkasa aliran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) jelas satu usaha untuk mengukuhkan asas bidang berkenaan.

”Apa yang tidak kurang penting selepas ini adalah memastikan keberkesanan pelaksanaan dan kecekapan sistem penyampaian pendidikan negara.

”Jika ia masih ditakuk lama dan tidak ditingkatkan, maka sukar untuk kita melihat peningkatan kualiti pendidikan negara dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata demikian mengulas pembentangan Belanjawan 2025 oleh Anwar yang mengumumkan peruntukan sebanyak RM64.1 bilion buat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sekali gus menjadikan ia angka tertinggi dalam sejarah.

Ketika membentangkan belanjawan di Dewan Rakyat, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, sebanyak RM2 bilion diperuntukkan untuk projek naik taraf dan penyelenggaraan sekolah seluruh negara.

Sebanyak RM18 bilion juga disalurkan untuk Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan angka terbabit merupakan 19.5 peratus daripada jumlah keseluruhan Belanjawan 2025 yang berjumlah RM421 billion.

Anuar turut berpandangan, peruntukan terbesar itu membuktikan komitmen kerajaan untuk menjayakan 'keadilan pendidikan'.

Artikel Berkaitan:

”Sejak Belanjawan 2023 lagi, usaha untuk menjayakan keadilan pendidikan khususnya kepada kumpulan murid daripada keluarga miskin menjadi fokus utama Kerajaan Madani di bawah pimpinan Anwar,” ujarnya lagi.


Kenaikan Kadar Elaun Layanan Sentiasa veteran ATM beri kelegaan

SHAH ALAM - Tindakan kerajaan menaikkan Kadar Elaun Layanan Sentiasa veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) daripada RM500 kepada RM1,500 memberi kelegaan dan mengiktiraf pengorbanan serta sumbangan kumpulan itu.

Presiden Persatuan Kor Pegawai-Pegawai Bersara Angkatan Tentera (RAFOC), Leftenan Jeneral Datuk Seri Dr Abdul Aziz Ibrahim berkata, isu berkenaan kadar elaun tersebut telah dikemukakan sejak tahun 2000, namun ia tidak menemui jalan penyelesaian.

“Sebahagian besar veteran telah berputus harap. Bagaimanapun, keputusan ini (kenaikan kadar elaun) pastinya memberi kelegaan dan mengiktiraf pengorbanan dan sumbangan veteran.

“Veteran meletakkan harapan yang tinggi serta berharap setiap pembentangan belanjawan oleh kerajaan, tidak meminggirkan kebajikan veteran, balu dan keluarga mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa veteran ATM bakal menerima kenaikan Kadar Elaun Layanan Sentiasa kepada RM1,500 yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2025.

Mengulas mengenai keputusan kerajaan yang menaikkan Bantuan Sara Hidup kepada RM500 sebulan, Abdul Aziz memberitahu bahawa ia adalah selaras dengan pendapatan garis kemiskinan (PGK).

Katanya, penyesuaian itu akan memberikan dorongan kepada kesejahteraan veteran yang tidak berpencen.

Pada masa sama, beliau berkata, bahawa persatuan menantikan rancangan pelaksanaan terperinci berhubung pengumuman pelarasan pencen secara berfasa berdasarkan peratusan kenaikan gaji akhir pesara.

“RAFOC beserta veteran amat menantikan rancangan pelaksanaan terperinci terutamanya bagi yang bersara pada tahun 2013 dan sebelumnya untuk memastikan mereka menerima pelarasan signifikan.

“Persatuan menghargai iltizam kerajaan dalam menangani kesejahteraan veteran dan keluarga mereka,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!