Gaji minimum RM1,700 perlu disambut majikan - UNI-MLC

Kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 sebulan perlu disambut dengan baik oleh majikan dalam meningkatkan martabat pekerja.
Kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 sebulan perlu disambut dengan baik oleh majikan dalam meningkatkan martabat pekerja.
A
A
A

SHAH ALAM – Kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 sebulan perlu disambut dengan baik oleh majikan dalam meningkatkan martabat pekerja.

Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, ia kerana semua pihak perlu mengambil pendekatan harmoni dan sejahtera dalam terus membaiki taraf hidup pekerja yang merupakan anggota penting dalam ekosistem negara.

“Kita faham hakikat bahawa majikan menjalankan perniagaan demi keuntungan tetapi pada masa yang sama pihak majikan harus berkongsi sebahagian keuntungan bersama pekerja masing-masing.

"Prinsip dan semangat ini harus dicerminkan dengan merealisasikan gaji minimum terbaharu yang diumumkan menerusi Belanjawan 2025,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.

Anwar berkata, Kementerian Sumber Manusia juga akan menerbitkan garis panduan gaji permulaan bagi semua sektor pekerjaan untuk rujukan pekerja contohnya gaji permulaan Juruteknik Industri dan Pengeluaran (RM2,290), Jurutera Mekanikal (RM3,380) dan Profesional Pekerja Kandungan Kreatif (RM2,985).

Mohamed Shafie menegaskan, kenaikan gaji minimum sebanyak RM200 berkenaan mencerminkan usaha kerajaan yang terus dan senantiasa menitikberatkan aspek pendapatan rakyat seterusnya menjadi tunjang ke arah kehidupan lebih baik lagi berkualiti.

Artikel Berkaitan:

Malah, katanya, UNI-MLC juga menggalakkan jika majikan bersedia untuk menawarkan gaji lebih baik berbanding gaji minimum RM1,700.

“UNI-MLC yakin bahawa sebagaimana disebutkan oleh Perdana Menteri penstrukturan ekonomi hanya akan dianggap berjaya apabila rakyat meraih gaji dan upah yang bermakna untuk menjalani hidup dengan lebih selesa.

“Oleh itu pendekatan penguatkuasaan juga perlu dipertingkatkan bagi menjamin keberkesanan pelaksanaan dasar terbaharu gaji minimum,” ujarnya.

Mohamed Shafie menambah, UNI-MLC turut menyambut pengumuman bahawa Kementerian Sumber Manusia akan menerbitkan garis panduan gaji permulaan bagi semua sektor pekerjaan untuk rujukan pekerja.

Kata beliau, langkah tersebut memperlihatkan pendekatan kepimpinan Kementerian Sumber Manusia di bawah Menterinya, Steven Sim.

“Secara keseluruhannya UNI-MLC menyambut insentif-insentif yang diumumkan oleh kerajaan bagi pekerja sektor awam dan sektor swasta. Semoga ia akan membawa manfaat menyeluruh menjelang negara mencapai taraf negara berpendapatan tinggi,” ulasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!