'Belanjawan 2025 bukan sahaja realistik tetapi juga komprehensif, inklusif'

Mujahid
Mujahid
A
A
A

SHAH ALAM - Belanjawan 2025 bukan sahaja disifatkan realistik tetapi juga komprehensif dan inklusif dengan fokus pembelaan terhadap semua peringkat golongan rakyat.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, rakyat berasa lega dengan pengumuman untuk meneruskan dan memperkasa Program Payung Rahmah.

Menurutnya, sejumlah RM700 juta untuk saluran program Rahmah jelas satu keutamaan Kerajaan Madani bagi menangani kos sara hidup bagi golongan yang terkesan.

“Ini ditambah lagi dengan bantuan sumbangan asas rahmah (Sara) dan sumbangan tunai rahmah (STR) bernilai RM13 billion untuk memberi manfaat kepada sembilan juta penerima dan merupakan terbesar sejak diperkenalkan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Jelasnya, isu keterjaminan makanan terus diberi fokus dengan tambahan RM300 juta untuk penanaman bawang di Perak, ternakan talapia merah di Pahang dan tanaman padi di Negeri Sembilan, termasuk inisiatif penanaman padi untuk lima musim sudah tentu memberi impak positif bagi menjana sektor pertanian domestik dan mengurangkan import bahan makanan asasi dari luar negara.

“Kewangan Islam terus diberi tumpuan dengan kedudukan Malaysia yang menjadi destinasi kewangan Islam dalam senarai 10 terbaik di dunia.

“Untuk itu RM100 juta diperuntukkan untuk penerokaan modal Islam (IVC) melalui kaedah Musyarakah dan Mudarabah," katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Halal Jakim yang diberikan peruntukan tambahan pegawai audit Halal untuk melicinkan proses pensijilan Halal yang semakin meningkat.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!