DPIM ambil inisiatif pulih reputasi restoran di Ipoh

Mohamed Burhan (tiga dari kanan) bersama ahli-ahli DPIM memaklumkan akan mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkaitan bagi memulihkan kembali imej restoran dan kedai makan di Ipoh.
Mohamed Burhan (tiga dari kanan) bersama ahli-ahli DPIM memaklumkan akan mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkaitan bagi memulihkan kembali imej restoran dan kedai makan di Ipoh.
A
A
A

IPOH - Terkesan dengan segelintir restoran nasi kandar yang diarah tutup kerana tidak menjaga kebersihan, Dewan Perniagaan India Muslim (DPIM) Perak mengambil inisiatif mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkaitan bagi memulihkan kembali reputasi.

Pengerusi DPIM Perak, Mohamed Burhan Mohd Alahudin berkata, tindakan Jabatan Kesihatan mengarahkan restoran nasi kandar yang tidak menjaga kebersihan ditutup menyebabkan restoran lain di bandar raya ini khususnya turut terjejas.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan imej bandar raya Ipoh dan negeri Perak sedikit tercalar dalam kalangan pelancong yang gemar akan kepelbagaian makanan di negeri ini.

"Seperti yang kita tahu, Perak khususnya Ipoh ini menjadi pilihan pelancong domestik disebabkan pelbagaian dan keunikan makanan yang ada di sini.

"Apabila ada berita mengenai isu kebersihan ini secara tidak langsung memberi persepsi negatif kepada pelancong. Jadi kita tidak mahu kehilangan peluang untuk menarik orang ramai datang ke sini disebabkan segelintir yang tidak mematuhi peraturan," katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Mohamed Burhan berkata, di Ipoh terdapat sekurang-kurangnya 100 restoran yang merupakan ahli DPIM Perak yang pastinya tidak mahu perniagaan mereka terjejas.

Katanya, begitu juga perniagaan makanan yang lain kerana masing-masing ada penggemar dan keunikan tersendiri termasuklah makanan jalanan.

Justeru itu, pihaknya terpanggil untuk melaksanakan sesi libat urus bersama agensi berkaitan termasuklah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Jabatan Kesihatan dan Jabatan Tenaga Kerja bagi memulihkan kembali imej tersebut.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, perbincangan bersama Exco kerajaan negeri yang berkaitan juga telah diadakan dan satu program berkaitan akan diadakan pada 14 November depan di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini melibatkan pengusaha makanan di negeri ini.

"Kita telah lontarkan cadangan mengenai program ini dan ia disambut baik oleh agensi berkaitan. Pada program itu nanti kita akan adakan kursus kepada pengendali makanan untuk memberi pendedahan kepada mereka terhadap pelbagai aspek termasuk perundangan.

"Program ini kita buka kepada semua pengusaha makanan bukan sahaja ahli DPIM Perak tetapi semua bangsa untuk kita sama-sama pulihkan kembali imej restoran, kedai makanan dan sebagainya," katanya.

Jelasnya, penyertaan akan dikenakan bayaran RM100 kepada peserta terlibat dan mereka akan menerima sijil yang diiktiraf oleh agensi.

Mohamed Burhan berkata, pihaknya menyasarkan penyertaan kira-kira 200 peserta untuk mereka menimba ilmu yang boleh diaplikasikan bagi kelangsungan perniagaan masing-masing.

Katanya, pengusaha makanan yang berminat boleh berhubung terus dengan DPIM Perak untuk maklumat lanjut dan pendaftaran.

Pada 22 Jun lalu, media melaporkan sebuah restoran nasi kandar 24 jam dikesan beroperasi dalam keadaan kotor dan menjijikkan diarah tutup selepas diperiksa dalam Operasi Khas Penguat Kuasa Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak di sekitar Station 18 di sini.

Dalam pemeriksaan bermula sekitar jam 9.30 malam itu mendapati, premis terbabit sengaja membiarkan dapur dalam keadaan tidak bersih, berbau dan terdapat tanda najis lipas.

Pemeriksaan dilakukan juga mengesan, barangan masakan seperti mi segera, bawang, kentang dan tepung dibiarkan dalam keadaan terbuka dan hanya ditempatkan di laluan tangga kediaman pekerja.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, arahan penutupan selama 14 hari itu dikeluarkan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!