PMVSB naik taraf balai, kediaman PDRM sekitar Merdeka 118

Tengku Ab Aziz (paling kiri) mempamerkan model berskala 150 unit rumah untuk PDRM dan pembinaan kemudahan penyimpanan sementara trafik kepada Shamsul Anuar (kanan) di Majlis Pecah Tanah Pembangunan Semula Balai Polis Tun H.S. Lee pada Khamis.
Tengku Ab Aziz (paling kiri) mempamerkan model berskala 150 unit rumah untuk PDRM dan pembinaan kemudahan penyimpanan sementara trafik kepada Shamsul Anuar (kanan) di Majlis Pecah Tanah Pembangunan Semula Balai Polis Tun H.S. Lee pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd (PMVSB) menaik taraf infrastruktur di sekitar Merdeka 118 melibatkan pembangunan semula Balai Polis Tun H.S. Lee, pembinaan 150 unit rumah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penubuhan kemudahan penyimpanan sementara trafik.

Ketua Pegawai Eksekutif PMVSB, Datuk Tengku Ab Aziz Tengku Mahmud berkata, pihaknya membuat pelaburan besar dalam kerja-kerja pembangunan dan menaik taraf infrastruktur di tiga lokasi berkenaan malah komited untuk memastikan komuniti sekitar lingkungan Merdeka 118 kekal selamat serta berkembang maju.

”Majlis menandatangani perjanjian hari ini bukan sekadar menyaksikan peningkatan infrastruktur, ia merangkumi penambahbaikan kehidupan seharian komuniti melalui pembinaan rumah moden dan kemudahan untuk PDRM.

”Kami tetap menumpukan perhatian bagi mencari langkah untuk terus memperbaiki kawasan Merdeka 118 dan menggalakkan perkembangan positif dalam pertumbuhan serta kesejahteraannya,” kata beliau dalam kenyataan pada Jumaat.

Majlis Pecah Tanah Pembangunan Semula Balai Polis Tun H.S. Lee Khamis lalu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah disusuli perjanjian penswastaan yang ditandatangani pada Julai 2022 antara Kementerian Dalam Negeri (KDN), Syarikat Tanah dan Harta Sdn Bhd serta PMVSB.

Sebelum majlis pecah tanah berlangsung, acara menandatangani perjanjian tambahan diadakan untuk pembinaan 150 unit perumahan 29 tingkat PDRM dan ia bakal dilengkapkan dengan kemudahan seperti tempat letak kereta, dewan serbaguna, gelanggang sepak takraw serta ruang komuniti.

Skop Projek 1 melibatkan pembangunan semula Balai Polis Tun H.S. Lee seluas 1.84 ekar, manakala 150 unit perumahan 29 tingkat PDRM di bawah Skop Projek 2 dan Skop Projek 3 menumpukan kepada pembinaan kemudahan penyimpanan sementara trafik bagi kes-kes di bawah bidang kuasa Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Skop Projek 1 dan Skop Projek 3 dijadualkan siap bagi tempoh 36 bulan serta 12 bulan manakala kerja pembinaan Skop Projek 2 dijangka selesai dalam 36 bulan.

Artikel Berkaitan:

Tengku Ab Aziz berpandangan, sehingga hari ini, PMVSB telah melabur jumlah yang signifikan untuk pembangunan infrastruktur di presint Merdeka 118 dengan matlamat mahu meningkatkan capaian, keselamatan dan kemudahan pengunjung serta masyarakat setempat.

”Ini termasuk pembinaan laluan berbumbung dan jambatan untuk memastikan ia selamat bagi pejalan kaki. Terowong di bawah Jalan Belfield menyediakan akses parkir kereta yang lancar melalui laluan utama seperti Jalan Syed Putra serta Jalan Istana.

”Malah, pusingan-U bertingkat baharu dibina di Jalan Hang Jebat bagi melancarkan lalu lintas di kawasan sekitar,” ujarnya.

Sementara itu, Shamsul Anuar memaklumkan, pihaknya yakin apabila projek pembinaan semula Balai Polis Tun H.S. Lee selesai, ia dapat meningkatkan persepsi rasa selamat penduduk dan pelancong, sekali gus mengurangkan kadar indeks jenayah.

Menurutnya, ia kerana berdasarkan laporan Global Peace Indeks (GPI), Malaysia telah naik sembilan anak tangga dalam GPI 2024 dan kini menduduki tempat ke-10 sebagai salah satu negara paling aman di dunia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!