IDEAS bimbang kos perkhidmatan hutang meningkat

Aira Azhari
Aira Azhari
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk menekankan kepentingan pelaksanaan dan penilaian inisiatif utama untuk memastikan hasil Belanjawan 2025 dicapai, khususnya dalam usaha pengukuhan fiskal serta reformasi tadbir urus.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Aira Azhari berkata, Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (PFFRA) akan menjadi rangka kerja penting bagi memandu dasar fiskal yang berhemat.

Menurut Aira, pihaknya bimbang dengan peningkatan kos perkhidmatan hutang yang dijangka meningkat sebanyak 7.7 peratus kepada RM54.7 bilion.

“Perbelanjaan untuk perkhidmatan hutang kini meningkat daripada 15.8 peratus (2024) kepada 16.3 peratus daripada perbelanjaan operasi pada 2025.

“Kami menekankan bahawa reformasi lanjut diperlukan untuk menangani nisbah hasil cukai kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang rendah.

“Iaitu diunjurkan pada 12.4 peratus pada 2025, jauh lebih rendah berbanding purata 18.8 peratus bagi negara berpendapatan sederhana tinggi,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Belanjawan 2025 adalah tertinggi yang pernah diumumkan iaitu RM421 bilion meliputi RM335 bilion belanja mengurus, RM86 bilion untuk pembangunan dan tidak termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa kerajaan terus mengekalkan belanjawan mengembang meskipun bertekad mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Aira memberitahu pendekatan berhati-hati kerajaan dalam meningkatkan hasil telah menghasilkan langkah cukai yang agak kecil seperti peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada barangan tidak penting yang sebelum ini dikecualikan.

“Walaupun perubahan ini adalah langkah ke arah yang betul, ia dijangka tidak akan meningkatkan hasil kerajaan dengan ketara. Walaupun, tahap defisit diunjurkan berkurang daripada 4.3 peratus kepada 3.8 peratus daripada KDNK.

“Rangka kerja fiskal jangka sederhana menetapkan sasaran sederhana dengan purata defisit 3.5 peratus bermula 2025 hingga 2027. Masih jauh daripada sasaran di bawah 3 peratus,” ujarnya.

Secara keseluruhan, Aira berkata, Belanjawan 2025 menunjukkan langkah positif ke arah disiplin fiskal dan reformasi tadbir urus, namun kejayaannya bergantung pada keupayaan kerajaan melaksanakan komitmen itu dengan segera dan telus.

"Walaupun Belanjawan 2025 menetapkan hala tuju yang betul, cabaran sebenar adalah memastikan asas hasil diperluaskan, terutama memandangkan nisbah hasil cukai kepada KDNK yang rendah.

“Kita perlu ingat bahawa keperluan asas rakyat memerlukan perbelanjaan besar, dan tiba masanya kerajaan perlu memperkenalkan cukai baharu untuk menampung perbelanjaan ini,” jelas Aira.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!