Tangkap harimau dahan dalam reban ayam

Seekor harimau dahan yang ditemui dalam reban ayam milik penduduk menyebabkan haiwan peliharaan penduduk itu mati sebelum ditangkap APM. Foto APM
Seekor harimau dahan yang ditemui dalam reban ayam milik penduduk menyebabkan haiwan peliharaan penduduk itu mati sebelum ditangkap APM. Foto APM
A
A
A

SIK - Seekor harimau dahan yang membaham ayam dan itik milik seorang penduduk Kampung Gulau, di sini sebelum ini berjaya ditangkap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pada pagi Sabtu.

Haiwan tersebut dikesan memasuki reban ayam milik Habsah Paih, 54, pada jam 5.50 pagi sebelum dia menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan.

Menurut Habsah, suaminya, Yahya Omar, 62, memberanikan diri menutup lubang kecil di reban ayam yang berada 70 meter daripada rumah mereka bagi mengelakkan harimau dahan itu melarikan diri sementara menunggu ketibaan anggota APM.

Anggota APM Sik mengambil masa 15 minit untuk menjerut haiwan berkenaan sebelum berjaya ditangkap di Kampung Gulau, Sik pada Sabtu. Foto APM
Anggota APM Sik mengambil masa 15 minit untuk menjerut haiwan berkenaan sebelum berjaya ditangkap di Kampung Gulau, Sik pada Sabtu. Foto APM

“Saya terdengar bunyi bising di luar rumah dan berfikir mungkin ada haiwan yang masuk ke dalam reban ayam. Musim hujan ini, saya ingatkan ular sawa serang ayam dalam reban.

“Saya kejutkan suami dan kami berdua melihat reban ayam dari jauh dengan lampu suluh sebab tak berani tengok dekat, Bila nampak harimau itu kami terus telefon talian 999," katanya semasa dihubungi pada Sabtu.

Habsah yang merupakan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Sik berkata, mereka pernah nampak kesan tapak kaki haiwan tersebut pada pokok berhampiran rumah sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Beberapa ekor ayam milik Habsah mati digigit oleh harimau dahan tersebut di dalam reban ayamnya di Kampung Gulau, Sik pada pagi Sabtu. Foto APM
Beberapa ekor ayam milik Habsah mati digigit oleh harimau dahan tersebut di dalam reban ayamnya di Kampung Gulau, Sik pada pagi Sabtu. Foto APM

Jelasnya, terdapat 15 ekor ayam di dalam reban tersebut dan sembilan mati digigit dan selebihnya cedera dan terselamat.

“Sebelum ini kami ada lebih kurang 20 ekor itik namun selepas itu hilang seekor demi seekor tanpa dapat dikesan namun ada sekali dua terjumpa bangkai.

“Kami hanya ternampak jejak kaki harimau itu sahaja, memang rasa takut bila jadi macam ini,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sik, Leftenan (Pertahanan Awam) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata, Pusat Kawalan Operasi APM Daerah Sik menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian tersebut pada jam 6.55 pagi.

Menurutnya, anggota APM kemudiannya bergegas ke lokasi dan mengambil masa 15 minit untuk menjerut haiwan berkenaan.

"Harimau dahan itu telah dibawa pulang ke pejabat APM dan akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan seterusnya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!