Pihak berkuasa Thailand bantu usir suspek warga Malaysia sembunyi di Dannok

Cubaan seorang lelaki yang mahu melarikan diri dan bersembunyi di Dannok, Thailand selepas terbabit dalam kes mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya gagal. Gambar hiasan
Cubaan seorang lelaki yang mahu melarikan diri dan bersembunyi di Dannok, Thailand selepas terbabit dalam kes mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya gagal. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Cubaan seorang lelaki yang mahu melarikan diri dan bersembunyi di Dannok, Thailand selepas terbabit dalam kes mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya gagal.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi kerjasama erat dengan pihak berkuasa Thailand berjaya menahan suspek tersebut pada Isnin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang mengesahkan penahanan itu berkata, suspek berusia 32 tahun itu dikesan bersembunyi di sebuah hotel di negara jiran tersebut.

Beliau berkata, maklumat berhubung suspek telah diterima Unit Risikan Sempadan (URS) Zon Utara daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor berkaitan suspek bersabit siasatan Seksyen 324 Kanun Keseksaan melarikan diri dan bersembunyi di Thailand.

Menurut beliau, hasil semakan dan risikan mendapati suspek masuk ke Thailand jam 6.42 pagi pada 11 Oktober lalu melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

"Suspek masuk ke negara jiran dengan menaiki kereta Perodua Myvi berwarna kelabu bersama masing-masing seorang lelaki dan wanita dan menginap di sebuah hotel di Dannok, Thailand.

"Maklumat yang diperolehi kemudian disalurkan kepada pihak berkuasa Thailand untuk menahan dan mengusir suspek keluar dari negara itu berdasarkan rekod orang dikehendaki ke atasnya," katanya pada Sabtu.

Razarudin berkata, hasil kerjasama URS Zon Utara dan pihak berkuasa Thailand, suspek ditahan di hadapan sebuah kedai di pekan Dannok jam 6.30 petang pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, suspek kemudiannya telah diusir keluar ke Malaysia setelah selesai dokumentasi oleh pihak berkuasa Thailand.

"Anggota dari Balai Polis ICQS Bukit Kayu Hitam kemudiannya telah menahan dan menangkap suspek di pintu sempadan ICQS.

"Suspek ditahan di balai tersebut buat sementara waktu bagi menunggu pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor tiba untuk tindakan lanjut," jelasnya.


Bot nelayan Vietnam bawa 1 tan ikan cuba lolos ke sempadan

PASIR PUTEH - Sebuah bot nelayan Vietnam yang membawa satu tan hasil laut cuba diloloskan ke sempadan negara sebaik kegiatan pencerobohan dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan berdekatan Tok Bali di sini Khamis lalu.

Bagaimanapun, tindakan pantas pihak berkuasa berjaya menahan bot berkenaan bersama empat nelayan warga asing.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, tangkapan dilakukan menerusi rondaan OP Damai, Naga Barat dan Tiris pada jam 11.30 pagi.

“Mereka pada awalnya tidak memberikan kerjasama dan cuba melarikan diri ke sempadan perairan negara apabila penguat kuasa mengarahkan untuk menghentikan bot.

“Selepas 14 minit dikejar akhirnya bot terbabit dapat ditahan pada kedudukan 96 batu nautika Timur Laut Muara Tok Bali,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Sabtu.

Beliau memaklumkan, hasil pemeriksaan mendapati nelayan asing berusia antara 48 hingga 66 tahun termasuk seorang tekong berada di dalam bot berkenaan.

Katanya, pihak berkuasa menemukan kira-kira satu tan hasil laut iaitu masing-masing 500 kilogram ikan bercampur-campur dan ikan baja.

“Turut ditemui bekalan diesel dianggarkan 200 liter dan peralatan navigasi serta komunikasi.

“Keseluruhan rampasan tersebut dianggarkan berjumlah lebih RM1.5 juta,” katanya.

Beliau menjelaskan, mereka disyaki melakukan aktiviti perikanan secara haram di perairan negara dan akan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan Malaysia oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Sabit kesalahan, hukuman denda boleh dikenakan sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600,000 ke atas setiap kru.

Selain itu, kesemua kru turut akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Bagi kes berkenaan, tekong dan kru boleh dihukum denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh disebat maksimum enam kali mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63.

“Proses membawa balik bot tersebut mengambil masa kira-kira 19 jam sebelum tiba di Jeti Maritim Negeri Kelantan pada 6 pagi, Jumaat.

“Bot diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!