Jika ada laporan, polis akan siasat dakwaan anak Abuya
SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan Ummu Atiyah Ashaari bahawa dia pernah menjadi mangsa keganasan serta dirogol seorang pemimpin GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sekiranya ada laporan polis dibuat oleh anak kepada bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad atau lebih dikenali sebagai Abuya tersebut, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut.
Beliau berkata, apabila laporan polis diterima, pihaknya juga akan mengesan keberadaan Ummu Atiyah.
"Sekiranya ada laporan dibuat, pihak polis akan mengesan mangsa dan siasatan akan dijalankan ke arah itu," katanya pada Sabtu.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan Ummu Atiyah mendakwa kejadian tersebut berlaku sewaktu dia dipaksa untuk berkahwin dengan seorang pemimpin GISBH pada 2015.
Wanita itu memberitahu, dia menolak untuk berkahwin dengan lelaki berkenaan kerana mendakwa pemimpin organisasi itu sudah tua dan menjijikkan.
Ummu Atiyah kemudiannya bertindak melarikan diri ke rumah rakannya di Jordan.
Namun lelaki berkenaan serta pengikutnya berjaya menemukan Ummu Atiyah di Jordan dan membawanya pulang ke Malaysia bagi dikahwinkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!