Kepengerusian ASEAN 2025: Malaysia akan anjur pertandingan TVET
BANGI - Malaysia akan menganjurkan pertandingan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sempena Kepengerusian ASEAN tahun depan, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Beliau berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mengusulkannya kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara, dan ia telah dipersetujui.
Hannah berkata, cadangan itu dibuat selepas beliau melihat kejayaan beberapa penuntut Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) yang mewakili negara di WorldSkills Competition 2024 di Lyon, Perancis pada September lepas selain pencapaian cemerlang di World Skills ASEAN Singapore 2023, WorldSkills Asia Abu Dhabi 2023 dan pertandingan WorldSkills Malaysia Belia 2023.
"Disebabkan pencapaian sebeginilah, saya telah mengusulkan supaya diadakan pertandingan TVET sebagai salah satu aktiviti di bawah Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun 2025," katanya pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen ILKBS ke-19 di Pusat Konvensyen Bangi Avenue di sini hari ini.
Beliau berkata, KBS juga akan terus memperluas penyampaian TVET melalui TVET Sukan dengan menawarkan beberapa kursus baharu seperti Kursus Pembinaan dan Penyelenggaraan Fasiliti Sukan, Permotoran Sukan (empat roda dan dua roda), dan Fotografi Sukan.
"KBS sudah meneliti kursus TVET berbentuk sukan yang boleh kita latih.. Kemahiran TVET yang ditawarkan mampu membantu anak-anak muda kita menjana pendapatan dengan cepat kerana ia amat diperlukan dalam pasaran pekerjaan," katanya.
Sementara itu, Hannah berkata, KBS telah mengambil langkah melaksanakan kerjasama strategik TVET dan Ekonomi Gig, bertujuan mengalakkan kerjasama pemain industri gig untuk terlibat dalam pembangunan kemahiran pelajar ILKBS dan belia massa.
Beliau berkata, 3,000 belia disasarkan terlibat dalam sektor ekonomi gig dan diberikan latihan melalui program Rakan Mahir: Skills For Life - TVET Gig, manakala 2,000 pelajar kemahiran diberi pendedahan tentang ekonomi gig.
"Apa yang menjadi kebanggaan saya ialah kadar kebolehpasaran graduan TVET KBS adalah 95.92 peratus pada tahun 2023. Purata pendapatan mereka adalah RM2,019," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!