KPT akan umum mekanisme yuran IPTA golongan kaya
MANJUNG - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengumumkan mekanisme pelaksanaan baharu kadar yuran institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kepada kumpulan selain M40 dan B40 seperti diumumkan dalam Belanjawan 2025 pada Jumaat.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, mekanisme tersebut akan disusun dengan mengambil kira pelbagai faktor dan bukan kedudukan kadar pendapatan semata-mata.
Jelas beliau, penelitian tersebut penting bagi memastikan dasar-dasar yang dilaksanakan kerajaan tidak mendiskriminasi atau membebankan golongan tersebut.
"Pendekatan itu akan kita umumkan khususnya mereka berpendapatan tinggi yang dari segi amalannya, sewajarnya tidak memperolehi khidmat sehingga ke tahap yang begitu (menikmati subsidi). Namun kita juga membuat perkiraan kepada kumpulan pendapatan ini yang khususnya kita kena ambil perhatian tentang bilangan ahli keluarganya dan juga dari segi tahap pendapatannya.
"Hal ini akan kita umumkan nanti dari segi berapa bilangan, tahap pendapatan mereka kerana seperti yang diperingatkan oleh Perdana Menteri juga supaya kita tidak melaksanakan satu dasar yang akhirnya dilaksanakan kepada semua tanpa kita mengambil kira dari segi latar belakang," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas hadir merasmikan Program Khidmat Masyarakat Mari Berjumpa Pakar Kesihatan anjuran Hospital Canselor Tuaku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Dewan Komuniti Bestari, Batu 10 di sini pada Sabtu.
Zambry berkata, pihaknya juga bersama-sama kementerian berkaitan akan memperhalusi dari segi segmentasi ukuran kelayakan bagi pelaksanaan dasar tersebut.
Menurutnya, pelaksanaan dasar itu juga dijangka hanya melibatkan pelajar baharu yang akan dilaksanakan tahun hadapan dan segala unjuran serta maklumat sudah pun ada cuma ia belum diumumkan secara rasmi.
Sementara itu jelasnya, pelajar IPTA sedia ada akan kekal dengan pelaksanaan dasar-dasar yang sebelum ini.
Dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan bercadang mengenakan sedikit kenaikan yuran sekolah berasrama penuh (SBP) dan IPTA kepada kumpulan pendapatan 15 peratus teratas.
Beliau menegaskan, kenaikan yuran itu tidak akan menjejaskan kumpulan B40 dan M40 sementara kutipan yang diraih boleh dimanfaatkan untuk menambah baik prasarana SBP serta IPTA tersebut untuk manfaat semua pelajar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!