FDAM mahu harumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa

Datuk Afdlin Shauki
Datuk Afdlin Shauki
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) bermatlamat melahirkan lebih banyak bakat yang mampu mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Pengerusinya, Datuk Afdlin Shauki berkata, peruntukan RM30 juta untuk program Belia Kreatif Madani adalah seiring dengan keinginan FDAM yang mahu memperkasa generasi muda dalam industri kreatif tanah air.

“Kami berharap dengan sokongan kerajaan ini, FDAM dan industri filem dapat melahirkan lebih banyak bakat yang mampu mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Usaha ini adalah satu langkah penting dalam memastikan penglibatan generasi baru dalam bidang seni dan seterusnya mencipta karya yang berkualiti,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan mendukung penuh pembangunan industri kreatif dengan memperuntukkan sebanyak RM30 juta untuk program Belia Kreatif Madani.

Menerusi program tersebut, ia merangkumi beberapa jenis bengkel kemahiran antaranya videografi kandungan kreatif, pembangunan komuniti filem serta pertandingan filem pendek.

Mengulas lanjut, Afdlin memaklumkan bahawa projek itu adalah satu peluang emas untuk golongan belia memperkasa kemahiran mereka dalam dunia kreatif.

“Ini juga memberi peluang kepada kami untuk terus menyediakan latihan dan bimbingan selaras dengan visi kami.

Artikel Berkaitan:

“Persatuan sentiasa menyokong inisiatif seperti ini kerana ia seiring dengan misi kami untuk membangunkan bakat-bakat baharu serta menyediakan platform yang kukuh bagi mereka berkembang,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengajak semua penggiat seni serta anak muda yang mempunyai minat terhadap bidang seni untuk merebut peluang itu dan menyertai program yang bakal dianjurkan oleh persatuan dalam masa terdekat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!