Belanjawan 2025: Langkah progresif wujudkan masa hadapan berdaya tahan, inklusif
SHAH ALAM - Belanjawan 2025 Malaysia Madani yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan langkah progresif ke arah mewujudkan masa hadapan lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan.
Pengarah Urusan UEM Group, Datuk Amran Hafiz Affifudin berkata, agenda kerajaan untuk mempercepatkan usaha menyahkarbon kawasan perindustrian menerusi pembentangan Belanjawan 2025 akan menarik lebih banyak pelaburan.
Menurutnya, perkara itu juga akan memacu momentum Malaysia ke arah mencapai sasaran pelepasan sifar bersih karbon menjelang 2050.
“Seperti diumumkan dalam Belanjawan tersebut, UEM Lestra Berhad, sayap industri hijau kami telah diamanahkan untuk mempercepatkan usaha nyahkarbon kawasan perindustrian.
"Taman perindustrian yang lebih hijau dijangka dapat menarik lebih banyak pelaburan asing.
“Kami juga mengalu-alukan pengenalan Program Corporate Renewable Energy Scheme (CRESS) sebagai satu anjakan transformasi ke arah akses grid terbuka yang akan memupuk pembangunan pasaran tenaga lebih berdaya saing dan mampan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sementara itu, menurut Amran Hafiz, usaha menangani kesesakan lalu lintas di kawasan lebuh raya utama negara juga penting bagi memudahkan pergerakan antara kawasan selain meningkatkan kecekapan ekonomi.
Tambahnya, mereka turut menyambut baik pengumuman projek utama di bawah Pelan Induk Kerjasama Awam Swasta 2030 (PIKAS 2030), termasuklah Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua di Pulau Pinang.
“Fasa ketiga pelebaran Lebuh Raya Utara Selatan, di bawah seliaan sayap lebuh raya kami, PLUS Malaysia Berhad juga merupakan inisiatif penting yang boleh menambah baik aliran trafik serta menampung jumlah kenderaan di laluan utama ini yang kian bertambah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Amran Hafiz berkata, mereka turut mengalu-alukan keutamaan kerajaan dalam memacu pertumbuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Jelasnya, UEM Group menerusi rangkaian syarikat mereka akan terus memainkan peranan dalam melaksanakan inisiatif berkaitan, mencipta nilai berpanjangan, memperkasa agenda pelaburan tempatan dan mencetuskan impak positif buat seluruh rakyat Malaysia merentasi pelbagai sektor.
“Kami yakin taman perindustrian tenaga boleh baharu (TBB) di Gerbang Nusajaya yang sedang dibangunkan oleh UEM Sunrise Berhad selaku sayap pembangunan perbandaran dan hartanah kami bersama rakan strategik yang lain akan memainkan peranan utama dalam membangunkan ekosistem TBB dan mencorak pertumbuhan JS-SEZ.
“Secara keseluruhannya, Belanjawan 2025 Malaysia Madani menyediakan asas yang kukuh bagi ekonomi yang lebih berdaya tahan dan mampan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!