Sebar berita palsu koronavirus: SKMM tak akan kompromi
SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau individu yang menyebarkan berita palsu mengenai koronavirus.
Ketua Pegawai Pematuhan SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin berkata, kebiasaan berita palsu itu turut ditokok tambah dengan isu berbaur perkauman dan agama.
"Dalam masyarakat kita memang ada yang suka tokok-tambah dengan perkara yang tiada kena-mengena sampai melalut yang bukan-bukan sebab itu SKMM ada bangunkan laman sesawang sebenarnya.my supaya masyarakat dapat maklumat sahih dan membuat sebarang aduan.
"Tindakan undang-undang tidak memilih sesiapa kerana tindakan diambil berdasarkan aduan yang diterima SKMM," katanya.
Beliau berkata demikian pada Wacana Sinar Harian Siri 155 bertajuk 'Koronavirus: Adakah kita lambat bertindak?' di Bangunan WUI, Kompleks Karangkraf Seksyen 15 di sini malam kelmarin.
Wacana dikendalikan moderator, Sayed Munawwar Sayed Mohd Mustar itu, manakala Zulkarnain bersama Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Bujang dan Doktor Kesihatan Profesional (MBBS), Dr Noordin Darus sebagai panelis.
Zulkarnain berkata, SKMM turut menubuhkan satu pasukan khas bagi memantau penyebaran berita palsu mengenai koronavirus untuk tindakan lanjut berikutan segelintir netizen cenderung memberi komen atau pandangan mengikut pemikiran jumud dan dipengaruhi emosi serta sentimen tertentu.
"Serahkan tugasan ini kepada ahlinya. Kalau kita bukan ahli, jangan buat spekulasi atau guna lensa pemikiran politik atau bangsa semata-mata.
"Jangan timbulkan masalah lain, sebaliknya kita bertenang menghadapi situasi sekarang supaya pihak berkenaan dapat memberi fokus penuh dalam menangani penularan koronavirus," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!