Penyamun diberkas dalam tempoh sejam

Seorang lelaki ditahan dipercayai terlibat dalam kejadian samun di Jalan Danau, Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram di sini, pada Jumaat. Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohd Sohaimi)
Seorang lelaki ditahan dipercayai terlibat dalam kejadian samun di Jalan Danau, Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram di sini, pada Jumaat. Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohd Sohaimi)
A
A
A

JOHOR BAHRU – Polis hanya memerlukan satu jam bagi memberkas seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian samun di Jalan Danau, Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram di sini, pada Jumaat.

Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 9 malam ketika mangsa bersama rakan dalam perjalanan pulang ke rumah telah disamun oleh suspek yang menaiki sebuah motosikal.

Katanya, dalam kejadian tersebut, berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek hingga menyebabkan kecederaan di bahagian siku, kaki sebelah kanan serta muka selain mangsa turut kehilangan sebuah telefon bimbit jenama Vivo.

“Bertindak atas maklumat, pada jam 10 malam Jumaat, polis telah menahan suspek di lokasi dan hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah dan satu rekod orang yang dikehendaki.

“Hasil ujian saringan awal air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek kini ditahan reman hingga Rabu ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Tambah beliau, polis turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha, telefon bimbit jenama Vivo dan tiga plastik lutsinar disyaki pelbagai jenis dadah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan menyebabkan cedera semasa melakukan rompakan serta Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!