Belanjawan 2025: Semua B40, M40 dapat manfaat - PM
KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu rakyat sehingga peringkat akar umbi terutama golongan miskin dan miskin tegar dapat menikmati pelbagai inisiatif yang disediakan dalam Belanjawan 2025.
Beliau berkata, antara inisiatif penting belanjawan itu ialah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang dinaikkan kepada RM13 bilion dalam Belanjawan 2025 berbanding RM10 bilion sebelum ini.
"Sekarang SARA kita luaskan kepada 700,000 orang, STR itu sekarang cecah sembilan juta orang, maknanya sekarang kesemua B40 juga M40 dapat manfaat. Pegawai daerah, penghulu, ketua kampung pastikan orang miskin tidak terlepas peluang ini. Saya sudah pesan tidak mahu ada tercicir.
"Maknanya, kerajaan Persekutuan jamin setiap keluarga... pendapatan campur semua kemudahan diberi kerajaan Persekutuan tidak kurang RM1,000 sebulan mesti masuk akaun dia. Tidak banyak negara buat (seperti) Malaysia MADANI laksanakan, setiap rakyat tidak ditinggalkan," kata beliau berucap merasmikan Program MADANI Rakyat 2024 Sayangi Sabah di Likas di sini pada Sabtu.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan menteri-menteri Kabinet Persekutuan dan Sabah.
Semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan 2025 berjumlah RM421 bilion di Dewan Rakyat yang memberikan penekanan lebih kepada usaha merancakkan ekonomi, menguasai aspek inovasi selain memastikan pengagihan kekayaan lebih adil dan saksama.
Perdana Menteri berkata, tiada gunanya membicarakan hak negeri atau kaum sekiranya masih ada rakyat pada peringkat akar umbi berstatus miskin, miskin tegar ataupun berpendapatan rendah, justeru mereka harus dibantu untuk keluar daripada belenggu itu.
"Mengapa harus kita gaduh soal kuasa negeri, hak negeri, hak kaum? Semua kaum kita peduli, kalau ada Melayu, Melanau, Dayak, Cina atau India termasuk dalam kategori dianggap miskin tegar atau miskin atau pendapatan tidak tinggi, maka STR masuk akaun dia minimum RM1,100.
"Ini belum dikira bantuan kerajaan negeri, zakat, NGO (badan bukan kerajaan), yayasan... kita bimbang kalau-kalau ada yang tercicir. Ini tanggungjawab kita pastikan tiada yang tercicir daripada menikmati apa yang kerajaan usahakan ini," katanya.
Beliau berkata, tidak ada gunanya juga pembangunan dan kemajuan dinikmati negara sekiranya rakyat di bawah tidak diberikan pembelaan sepatutnya, oleh itu kerajaan Madani mahu setiap rakyat diberikan perhatian secara langsung dan usaha ini memerlukan sokongan rakyat itu sendiri.
Anwar berkata dalam usaha membantu rakyat, kerajaan berdepan beberapa cabaran besar antaranya kebocoran dan ketirisan bantuan yang merampas hak rakyat untuk menikmati pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan itu.
Subsidi petrol misalnya, Perdana Menteri berkata kerajaan berusaha melakukan penyasaran semula subsidi itu bagi memastikan rakyat benar-benar memerlukan dapat dibantu secara optimum dan ia tidak jatuh ke tangan golongan yang mengambil kesempatan.
"Subsidi kerajaan keluarkan supaya harga (petrol) tidak naik, bantu rakyat susah. Tetapi, sekarang ini (subsidi) petrol masuk warga asing yang tidak ada kad pengenalan pun kita bantu, dia tidak bayar cukai tetapi diberi subsidi ... orang kaya (ada) rumah banglo, untung berjuta (ringgit), tetapi subsidi petrol kita bagi.
"Jadi, kalangan orang kaya teratas 15 peratus campur orang asing mereka guna subsidi 40 peratus atau RM8 bilion satu tahun kerajaan murah hati beri, sebab itu kita kena fikir cara untuk mengubahnya supaya rakyat memerlukan dapat menikmatinya, agar 85 peratus rakyat B40, M40 dapat nikmatinya," kata beliau.
Sehubungan dengan itu, Anwar berkata, beliau memerlukan semua rakyat Malaysia untuk memahami sebaiknya dan menyokong usaha yang dilakukan kerajaan MADANI dalam merealisasikan hasrat itu, seterusnya meringankan beban yang ditanggung rakyat ketika ini.
Sementara itu, Perdana Menteri mahu rakyat menggunakan sebaiknya peruntukan keseluruhan berjumlah RM1 bilion bagi Program Sejahtera Komuniti MADANI (Sejati MADANI) dalam Belanjawan 2025 bagi mengubah kehidupan dalam komuniti mereka dengan melaksanakan program bermanfaat.
"Kita beri hingga RM100,000 ikut projek kepada kampung, di Sarawak ada rumah panjang. Tetapkan nak buat apa bukan pegawai daerah, menteri, ketua jabatan, tetapi orang kampung (adakan) mesyuarat fikir nak buat apa. Pelihara ayam, ikan atau apa-apa projek untuk tingkat kehidupan," kata Anwar. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!