Inisiatif Kita Gempur tangani ketirisan barang kawalan bersubsidi
KOTA KINABALU - Usaha kerajaan menggempur manipulasi dan ketirisan barang kawalan dan bersubsidi melalui aktiviti perniagaan dilaksanakan menerusi pelancaran Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (Gempur) yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif baharu dikenali sebagai Kita Gempur adalah sebagai langkah strategik kerajaan untuk membina gerakan masa dalam menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan.
"Ini termasuk usaha mengekang penipuan perniagaan dalam talian (e-dagang), membanteras monopoli bermasalah dan kewujudan kartel dalam bentuk pakatan harga, pasaran, pengeluaran serta tipuan bida.
"Selain memperkasa aspek penguatkuasaan, gerakan ini juga akan memberikan fokus kepada advokasi kepenggunaan dan advokasi Berniaga Patuh Kod Etika dan Perundangan (Biz-Berkat)," katanya pada Program Madani Rakyat 2024 Sayangi Sabah di Likas, pada Sabtu.
Menurut beliau lagi, dalam usaha menggerakkan agenda di bawah inisiatif itu, gerakan Kita Gempur menyasarkan kepada keterlibatan masa dan kebersamaan pelbagai pemegang taruh.
"Ia meliputi (K) agensi Kerajaan, (I) pemain Industri, (T) pematuhan Tatakelola dan (A) partisipasi awam. Melalui sinergi yang diwujudkan, ia akan mengukuhkan kerjasama antara rakan strategik dengan penguat kuasa KPDN agar satu sistem pengawasan dan pelaporan yang lebih bersepadu dapat dilaksanakan
"Menerusi gerakan ini, KPDN telah mewujudkan platform pelaporan khusus yang boleh diakses menerusi imbasan kod QR (Quick Response) yang menyediakan beberapa saluran rasmi bagi mengemukakan aduan kepada KPDN.
"Pada masa sama, sebagai langkah memaksimumkan penglibatan awam, KPDN akan memilih beberapa tempat seperti pasar raya, premis perniagaan dan stesen minyak seluruh Malaysia yang akan dijadikan sebagai titik tumpuan pelaporan aduan," katanya.
Jelas beliau lagi, kod QR Kita Gempur akan dilekatkan di lokasi terbabit sebagai langkah untuk memudahkan penglibatan awam untuk melaporkan sebarang kes salah laku secara terus, mudah dan pantas.
"Kewujudan lokasi titik tumpuan ini akan memastikan setiap aduan yang disampaikan dapat disalurkan melalui platform yang tepat, sekali gus
memudahkan proses penyelesaian dan meningkatkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan," katanya.
Sehubungan itu, Armizan berkata, menerusi pelancaran itu kerajaan melalui KPDN beriltizam untuk melibatkan seluruh rakyat dalam memastikan usaha membanteras manipulasi dan ketirisan barangan kawalan dapat ditangani.
"KPDN menggesa masyarakat untuk bersama-sama menyokong inisiatif Kita Gempur dan menjadi sebahagian daripada gerakan masa agar aktiviti yang merugikan rakyat dan negara dapat dibanteras," katanya.
Sebelum itu, laporan atau aduan boleh dilakukan melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-848 8000, talian hotline yang beroperasi 24 jam iaitu di talian 03 8882 6088/6245 dan saluran aduan #HapusKartel yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) pada pautan://www.mycc.gov.my/e-aduan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!