Pesawat India menuju London dilencongkan ke Jerman selepas ancaman bom

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

FRANKFURT - Sebuah pesawat India dengan 147 penumpang melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Frankfurt, Jerman selepas menerima ancaman bom ketika dalam perjalanan dari Delhi ke London, kata polis Jerman pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Ancaman itu disampaikan melalui platform media sosial X, dengan mendakwa bom yang dipasang di dalam pesawat yang dikendalikan Vistara, menurut jurucakap polis.

Juruterbang segera memaklumkan kepada kawalan trafik udara Jerman dan meminta untuk dilencongkan ke Frankfurt.

Permintaan itu diluluskan dan pesawat itu mendarat pada 9.02 malam (1902 GMT).

Setelah mendarat, kapal terbang diperiksa dengan teliti oleh polis bersama anjing pengesan. Tiada bom ditemukan dan pesawat diisytiharkan selamat.

Pada awal September, satu lagi penerbangan Vistara dari Mumbai ke Frankfurt dilencongkan ke sebuah lapangan terbang di timur Turkiye selepas ancaman bom dijumpai ditulis di atas tisu tandas dalam pesawat. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!