Pak belang baham dua lelaki ditangkap dalam masa 33 jam
KOTA BHARU - Seekor harimau belang jantan yang menyebabkan kematian seorang lelaki warganegara Myanmar di Ladang Cili Thek Him Vegetables Resources Batu 18 Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Jeli di sini akhirnya berjaya ditangkap dalam tempoh kurang 48 jam selepas memasuki perangkap dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan pada Sabtu.
Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata, harimau belang itu berada dalam keadaan sihat semasa memasuki perangkap yang dipasang di Hentian Damai, Batu 17, Jeli pada jam 9 pagi Jumaat.
"Pemeriksaan lanjut mendapati hidupan liar terbabit berusia lebih kurang lapan hingga 10 tahun.
"Harimau ini akan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, seramai 12 anggota Perhilitan Kelantan dan dibantu Perhilitan Daerah Grik, Perak telah terlibat dalam operasi ini.
Dalam pada itu katanya, harimau belang yang berjaya ditangkap masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sama ada ia adalah haiwan yang sama menerkam mangsa dalam kejadian yang lalu.
"Dengan kejayaan operasi ini diharap dapat meredakan kegusaran pekerja-pekerja ladang di kawasan terlibat.
"Walau bagaimanapun mereka diingatkan supaya berjaga-jaga dan keluar ke ladang secara berkumpulan dan tidak berseorangan," katanya.
Media pada Jumaat melaporkan Jabatan Perhilitan Perak dan Kelantan melaksanakan gerak kerja menangkap harimau yang disyaki membaham dua mangsa sehingga maut, awal minggu ini.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff dalam kenyataan itu memaklumkan satu perangkap dipasang pada Jumaat di kawasan dikenal pasti sebagai tambahan perangkap yang dipasang pada Khamis.
Dalam kejadian pada Khamis, seorang lelaki warga Myanmar maut dengan paha kiri terputus, dipercayai diserang harimau ketika berada di belakang rumah kongsi di ladang cili di Batu 18, JRTB Gerik–Jeli dekat Batu Melintang di Jeli.
Sementara itu dua hari sebelumnya, seorang lelaki tempatan Adnan Ismail, 54, maut diserang harimau belang ketika turun dari rumah kongsi berdekatan kawasan hutan di KM79.2 JRTB Gerik–Jeli di Bersia, Gerik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!