Perak FC tewas dalam aksi sulung di Manjung

Sebahagian aksi di antara Perak FC menentang Sabah FC dalam saingan Liga Super di Stadium MPM di sini pada Sabtu.
Sebahagian aksi di antara Perak FC menentang Sabah FC dalam saingan Liga Super di Stadium MPM di sini pada Sabtu.
A
A
A

PERAK FC gagal mencipta kemenangan dalam aksi sulung mereka di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) di sini apabila tewas 4-2 ketika saingan Liga Super menentang Sabah FC pada Sabtu.

Enam gol yang terhasil bagi kedua-dua pasukan itu disaksikan lebih 2,000 penonton di gelanggang baharu tuan rumah.

Minit awal permainan menyaksikan kedua-dua pasukan menampilkan persembahan meyakinkan dengan beberapa asakan ke kubu lawan masing-masing.

Tiga minit selepas wisel ditiup, pasukan pelawat lebih menguasai perlawanan apabila memperoleh empat sepakan penjuru namun gagal menembusi pertahanan Perak FC.

Berselang dua minit kemudian, Perak FC berpeluang menjaringkan gol namun rembatan Clayton Da Silva sekadar melepasi palang gol.

Perak FC dihadiah sepakan penalti apabila Video Bantuan Pengadil (VAR) menunjukkan penjaga gol Sabah FC, Daniel Lim memijak kaki pemain tuan rumah, Luka Milunovic di dalam kotak penalti.

Peluang itu nyata tidak disia-sia oleh kapten Perak FC, Luciano Guaycochea yang berjaya menyudahkan sepakan tersebut seterusnya menjadikan kedudukan 1-0 di Stadium MPM.

Memasuki minit ke-39, Sabah FC berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang Ko Kwang Min terus ke gawang Perak FC menewaskan Haziq Nadzli.

Artikel Berkaitan:

Lima minit berselang, pasukan pelawat mencipta kejutan apabila berjaya menjaring satu lagi gol menerusi rembatan pemain tengah mereka, Stuart Wilkin sekali gus mendahului perlawanan.

Berakhir babak pertama perlawanan menyaksikan Sabah FC yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee di depan dengan dua gol berbalas satu.

Bersambung babak kedua, Perak FC dilihat lebih agresif dengan menguasai perlawanan pada minit awal permainan untuk mencari gol.

Hasilnya Clayton berjaya menjaringkan gol hasil umpanan dari sepakan penjuru Guaycochea yang ditanduk tepat ke arah gawang Sabah FC sekaligus merubah kedudukan menjadi 2-2.

Pada minit ke-57, pemain Sabah FC, Saddil Ramdani menjadi pemain pertama dilayangkan kad kuning oleh Pengadil Mohd Hasrol Mohd Amir selepas mengasari Tommy Mawat.

Tiga minit kemudian, kad kuning kedua perlawanan pula dilayangkan kepada pemain Perak FC, Tommy yang dikesan menyentuh bola menggunakan tangan.

Sabah FC kembali di depan pada minit ke-82 menerusi jaringan Joao Pedro menjadikan kedudukan berubah 2-3 mengatasi Perak FC.

Kealpaan anak buah Yusri Che Lah terus dihukum Sabah FC apabila menjaringkan gol keempat mereka melalui pemain tengah, Miguel Cifuentes.

Tamat perlawanan menyaksikan Perak FC gagal bangkit apabila tewas 2-4 di tangan Sabah FC di Manjung.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!