Belanjawan 2025: Anwar gesa Sabah selesaikan isu infrastruktur dengan cekap

Anwar Ibrahim menerima nombor pendaftaran khas kenderaan MADANI 10 daripada Menteri Pengangkutan Anthony Loke (kiri) selepas merasmikan Program Madani Rakyat 2024 Sayangi Sabah di Likas. Foto Bernama
Anwar Ibrahim menerima nombor pendaftaran khas kenderaan MADANI 10 daripada Menteri Pengangkutan Anthony Loke (kiri) selepas merasmikan Program Madani Rakyat 2024 Sayangi Sabah di Likas. Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan Sabah untuk menyelesaikan masalah infrastruktur di negeri itu dengan cekap susulan peningkatan peruntukan pembangunan bagi Sabah dalam Belanjawan 2025.

Beliau berkata, walaupun belanjawan itu tidak akan menyelesaikan semua masalah yang melibatkan antaranya sekolah dan hospital, namun peruntukan itu ialah usaha berani kerajaan Persekutuan untuk menangani isu infrastruktur di Sabah.

Anwar berkata, beliau mahu semua masalah infrastruktur termasuk menaik taraf sekolah dan hospital di Sabah dilakukan dengan efisien dan telus.

"Ia usaha yang berani (untuk menyelesaikan isu infrastruktur) dan kita akan terus melakukannya. Tugas anda (kerajaan negeri) adalah untuk memastikan ia (projek) dilaksanakan dengan cekap dan telus.

"Kita tidak mahu sebarang kerugian disebabkan kelewatan, pembaziran, komisen atau rasuah. Itu tanggungjawab anda sekarang, untuk menjayakannya," kata beliau ketika merasmikan Persidangan Ekonomi Biru Antarabangsa Sabah (SIBEC) 2024 di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Sementara itu, Anwar berkata, Sabah, negeri kedua terbesar di Malaysia, mempunyai banyak kawasan yang dianggap kurang membangun.

"Kita telah membelanjakan dana yang besar untuk projek Pan Borneo yang masih berjalan, ia hampir selesai di Sarawak, tetapi perlu digesa lagi di Sabah," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Hajiji berkata, Belanjawan 2025 mencerminkan langkah progresif Kerajaan Perpaduan untuk memastikan kehidupan rakyat yang makmur tanpa menjejaskan kesejahteraan ekonomi negara.

Hajiji yang menyambut baik keutamaan yang terus diberikan kepada Sabah, berkata peruntukan yang dicadangkan sebanyak RM6.7 bilion untuk negeri itu tahun depan menunjukkan peningkatan 0.45 peratus berbanding RM6.67 bilion tahun ini.

Beliau berkata, peruntukan itu mencukupi untuk meneruskan projek pembangunan pada tahun terakhir Rancangan Malaysia ke-12 pada 2025. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!