Penjual aiskrim maut dihempap pokok tumbang
KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Seorang peniaga aiskrim warga Kemboja maut akibat dihempap pokok tumbang ketika menunggang motosikal di jalan menuju Air Terjun Sungai Pandan, Felda Panching, di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dalam kejadian yang dilaporkan kira-kira jam 5.55 petang itu, mangsa, Sen Sauat, 29, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari berniaga aiskrim di kawasan Air Terjun Sungai Pandan.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, angin kuat melanda bersama hujan lebat menyebabkan pokok itu tumbang dan menghempap mangsa.
"Semasa kejadian dipercayai hanya mangsa yang melalui jalan tersebut," katanya.
Wan Mohd Zahari berkata, susulan maklumat diterima, anggota polis ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira jam 6 petang.
"Pegawai perubatan yang berada di tempat kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) menggunakan kenderaan polis untuk proses bedah siasat," katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dsn Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas ke lokasi untuk bantuan.
Menurutnya, ketika pihak bomba tiba di lokasi mendapati mangsa telah dikeluarkan orang awam dan disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian.
"Pokok tumbang menghempap mangsa juga sudah dibersihkan orang awam," katanya.
Zulfadli berkata, pihaknya melakukan pemantauan di lokasi sebelum operasi ditamatkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!