Lima hilang bot regata karam: Tunang pengsan terima berita, hanya peluk baju Khairul

Suasana pilu menyelubungi kawasan tebingan Sungai Sarawak semasa operasi pencarian lima mangsa bot regata yang karam yang dikhuatiri lemas pada sesi latihan di Sungai Sarawak kelmarin. Foto Bernama
Suasana pilu menyelubungi kawasan tebingan Sungai Sarawak semasa operasi pencarian lima mangsa bot regata yang karam yang dikhuatiri lemas pada sesi latihan di Sungai Sarawak kelmarin. Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Muhammad Khairul Hisyam Kasturi, 23, seorang daripada lima mangsa yang hilang susulan insiden bot regata karam ketika sesi latihan di Sungai Sarawak semalam, dikatakan tidak menyukai aktiviti air dan tidak mahir berenang sejak kecil.

Mendedahkan perkara itu, bapa saudaranya, Mohd Ridzuan Aban, 64, berkata, yang menyedihkannya ialah insiden berkenaan berlaku selepas Muhammad Khairul Hisyam baru sahaja mengikat tali pertunangan dengan wanita pilihannya yang dikenali sejak di bangku sekolah, Najwa Anizan, 22, pada 13 Oktober lepas.

"Saya hanya mengetahui Khairul menyertai acara regata selepas menerima berita sedih ini, dia tiada sejarah main perahu dan tidak biasa main (aktiviti) di laut, jadi sejujurnya saya terkejut bila mengetahui dia menyertai acara perahu sebab dia tak pandai berenang.

"Ini kali pertama dia ikut pertandingan regata dan latihan semalam ialah latihan ketiganya... kalau saya tahu dari awal dia sertai regata, memang saya akan larang sebab sukan ini risikonya tinggi apatah lagi kalau tak pandai berenang,” katanya.

Operasi pencarian lima mangsa kejadian bot karam sewaktu sesi latihan regata di Sungai Sarawak berhampiran Royal Bay Commercial Centre, Jalan Buruh Bintawa pada Sabtu. Foto Bernama
Operasi pencarian lima mangsa kejadian bot karam sewaktu sesi latihan regata di Sungai Sarawak berhampiran Royal Bay Commercial Centre, Jalan Buruh Bintawa pada Sabtu. Foto Bernama

Ditemui pemberita di pusat operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Royal Bay Commercial Centre di sini hari ini, Mohd Ridzuan yang berasal dari Kampung Rebak, Asajaya berkata dia mengetahui berita insiden berkenaan kira-kira jam 7 malam semalam selepas mendapat panggilan daripada ibu mangsa.

Mohd Ridzuan menyifatkan anak sulung daripada dua beradik itu sebagai seorang yang pendiam, namun periang dan bertanggungjawab terhadap keluarganya.

Artikel Berkaitan:

"Tak lama sebelum ini kami dah terima musibah.... Saya dan ibu mangsa pun baru sahaja kehilangan adik kami kira-kira 20 hari lepas dan tragedi ini menjadikan kami kehilangan seorang lagi ahli keluarga tersayang dalam masa kurang sebulan.

"Tunangnya pun memang terkejut sehingga pengsan... dari tadi dia hanya mampu memeluk baju Khairul, jadi kita doakan semoga yang berlaku ini ketentuan ALLAH dan perlu reda dengan-Nya,” katanya.

Sebanyak lima peserta regata dikhuatiri lemas kira-kira jam 3.50 petang semalam di Sungai Sarawak berhampiran Royal Bay Commercial Centre, Jalan Buruh Bintawa di sini, apabila bot mereka karam susulan gelombang pergerakan sebuah bot nelayan yang datang dari arah bertentangan.

Dalam insiden berkenaan, hanya 11 daripada 16 peserta regata yang juga kakitangan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) berjaya menyelamatkan diri.

Empat lagi mangsa yang hilang ialah Mohamad Ikhmal Sama'ail, 34, Majurie Maharuf, 32, Mohd Afiq Isyamudin Asaari, 26, dan Mohamad Khairul Bidin, 26.

Kesemua peserta yang terlibat sedang menjalani latihan bagi acara kemuncak perlumbaan Festival Regata Sarawak-Kuching Waterfront 2024 yang bakal diadakan pada 1 hingga 3 November ini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!