Lelaki pegang parang berkeliaran di Bertam mangsa kemalangan - Polis

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KEPALA BATAS - Polis menjelaskan kejadian seorang lelaki dengan mukanya cedera berdarah sambil memegang parang dan berkeliaran di kawasan Bertam di sini pada 6 Oktober lepas, ialah pemandu sebuah kereta yang terlibat dalam kemalangan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita pada jam 4.17 petang, 6 Oktober dan lelaki berkenaan telah menyerah diri pada hari yang sama.

"Siasatan awal mendapati lelaki itu terlibat dalam kemalangan semasa dalam perjalanan menaiki sebuah kereta dari Alor Star, Kedah ke Subang, Selangor sebelum melanggar dua kenderaan lain sehingga menyebabkan keretanya (suspek) terbabas ke dalam longkang.

"Lelaki itu telah bertindak melarikan diri ke kawasan Bertam sambil membawa sebilah parang yang diambil dari keretanya kerana bimbang dipersalahkan sebagai punca kemalangan terbabit berlaku dan kejadian itu mempunyai kaitan dengan laporan polis berhubung kemalangan di KM 120 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 7(1) Akta Bahan Hakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 iaitu membawa senjata berbahaya di tempat awam.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak mensensasikan kes itu sehingga mengganggu ketenteraman awam dan pihak polis juga meminta kerjasama saksi yang mempunyai maklumat mengenai kes itu agar berhubung dengan pegawai penyiasat Insp Irwan Shah Sumardi menerusi talian 04-5762222 (sambungan 227) atau mana-mana balai polis berdekatan.

Terdahulu, tular beberapa gambar memaparkan seorang lelaki memegang parang berkeliaran di Bertam sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!