Kejuruteraan ontologi: Teras teknologi pintar masa kini
PERNAHKAH anda tertanya-tanya bagaimana Siri atau Google Maps memahami permintaan anda dengan begitu tepat?
Jawapannya terletak pada bidang yang dikenali sebagai kejuruteraan ontologi.
Ontologi pada asalnya adalah cabang falsafah yang mengkaji sifat kewujudan dan realiti.
Ia tertumpu kepada persoalan mendasar seperti ‘Apa yang wujud?’ dan ‘Bagaimana kita boleh mengklasifikasikan semua entiti yang wujud?’.
Dalam konteks teknologi moden, ontologi telah berkembang menjadi cara untuk memodelkan pengetahuan dan hubungan antara konsep dalam domain tertentu.
Kini ontologi telah berkembang menjadi tunjang teknologi pintar. Ia membolehkan komputer bukan sekadar memproses data tetapi memahami makna di sebaliknya.
Sekilas pandang, ontologi mungkin tampak seperti satu cabang falsafah yang abstrak, kompleks dan tiada kaitan dengan realiti harian kita.
Namun, tanpa kita sedari, ontologi sebenarnya adalah komponen penting dalam teknologi yang kita gunakan setiap hari.
Ontologi bukan lagi sekadar wujud dalam dunia teori tetapi kini berfungsi sebagai teras bagi pelbagai teknologi pintar masa kini, yang menjadikan interaksi kita dengan teknologi moden ini lebih efektif dan efisien.
Dari membantu anda mencari restoran terbaik hingga membantu doktor membuat diagnosis, ontologi mengubah cara kita berinteraksi dengan maklumat.
Dalam dunia teknologi, ontologi berfungsi sebagai peta semantik yang membantu sistem memahami hubungan antara konsep.
Sebagai contoh, dalam sistem navigasi sistem pesanan global (GPS), ontologi membantu menghubungkan konsep seperti jalan, persimpangan dan kenderaan.
Semua konsep-konsep ini dihubungkan melalui gabungan pelbagai ontologi seperti ontologi ruang (spatial) untuk data lokasi, ontologi masa (temporal) untuk penyelarasan masa, ontologi navigasi untuk laluan dan arah serta ontologi satelit untuk data satelit.
Gabungan pelbagai ontologi inilah yang sebenarnya membolehkan aplikasi seperti Waze atau Google Maps menganalisis banyak faktor secara serentak dan seterusnya mencadangkan laluan terbaik dengan cepat dan tepat.
Media sosial seperti Facebook menggunakan ontologi untuk mengurus maklumat pengguna dan hubungan sosial.
Ontologi Friend of a Friend (FOAF) digunakan untuk menggambarkan individu dan hubungan mereka serta aktiviti yang mereka lakukan.
Ini membolehkan platform media sosial meningkatkan pengalaman pengguna dengan lebih baik.
Netflix pula mengaplikasikan movie ontology untuk mencadangkan filem berdasarkan pilihan tontonan anda.
Ontologi ini mengkategorikan elemen-elemen seperti genre, pelakon, pengarah, dan tema, membolehkan sistem membuat cadangan yang sangat sesuai dengan selera penonton.
Dalam bidang perubatan, ontologi seperti SNOMED CT membantu doktor membuat diagnosis yang lebih tepat.
Sistem ini menyediakan istilah klinikal yang terperinci untuk kegunaan dalam rekod kesihatan elektronik, membolehkan keputusan dibuat berdasarkan data yang lebih menyeluruh.
Pembantu digital seperti Siri dan Alexa menggunakan pelbagai ontologi untuk memahami permintaan pengguna dengan lebih pintar.
Mereka memanfaatkan ontologi seperti Schema.org untuk mengenali entiti dan Geonames Ontology untuk memahami lokasi, membolehkan mereka memberikan cadangan yang tepat dan diperibadikan.
Ringkasnya, kejuruteraan ontologi merupakan tunjang utama di sebalik pelbagai teknologi pintar yang kita gunakan setiap hari.
Selaras dengan kepesatan inovasi dan penciptaan teknologi pintar, bidang kejuruteraan ontologi dijangka terus berkembang kerana ia adalah tulang belakang yang menyokong teknologi moden ini.
*Ahadi Mohd Nasir ialah pelajar PHD, Institut Informatik Visual, Universiti Kebangsaan Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!