Perginya kritikawan Hashim Awang
SASTERA Melayu kehilangan Hashim Awang, sebuah nama besar yang kembali ke negeri abadi pada 13 September 2024.
Namanya dihubungkan dengan penulisan kritikan sastera akademik, dan kemudiannya menjadi ikutan ramai pelajar sastera di institut pengajian tinggi membuat kajian akademik seperti menulis latihan ilmiah, tesis sarjana dan kedoktoran.
Anak Terengganu yang dilahirkan 1942. Pada tahun 1962 melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Bahasa dan pada 1967 mendapat sarjana muda sastera Universiti Malaya serta terus belajar sarjana sastera dan kedoktoran.
Contoh pelajar gigih hingga akhirnya digelar profesor dalam bidang sastera Melayu moden.
Saya mengenalinya semasa mengikuti kursus kritikan dan teori sastera Melayu di UKM pada 1975.
Beliau tenaga pengajar jemputan daripada Universiti Malaya. Saya mula diperkenalkan antaranya keilmuan kritikan dengan teori formalistik dan sosiologi.
Sebagai pengkritik, Hashim Awang tidak seprolifik Yahaya Ismail yang menulis saban minggu di akhbar.
Beliau hanya menulis sekali sekala sahaja dan menerbitkannya di majalah atau berbentuk buku.
Sesuai dengan pendidikan sastera formalnya, beliau menumpukan penulisan ilmiah.
Sumbangan pertama memperkukuh kedudukan pendekatan formalistik yang selama ini digunakan cukup meluas dalam kritikan praktis tanah air.
Teori itu dijadikan landasan dan kerangka teori dalam kajian akademik.
Beliau sendiri adalah mempeloporinya dengan mengkaji Cerpen-cerpen Melayu Sebelum Perang Dunia Kedua (1975).
Kajian itu menjadi format penyelidikan kemudiannya, yang diikuti oleh Othman Puteh Cerpen Melayu Moden Selepas Perang (1977) dan Mana Sikana Pemikiran Di Sekitar Drama Melayu Moden (1978).
Semuanya berlaku dalam tahun awal 1970-an. Dengan yang demikian teori formalistik menjadi teori dan kaedah kajian ilmiah di universiti-universiti.
Kedua, Hashim Awang telah memperkenalkan teori psikologi pada 1980-an. Sebelum ini unsur-unsur psikologi sudah sedia ada dalam kritikan, Yahaya Ismail pernah menggunakannya, tetapi tidak begitu menyeluruh dan kental.
Hashim Awang meneliti dan mengkaji pemikiran dan teori Sigmund Frued terutamanya aspek mimpi dan pengkaryaannya, alasannya ialah dalam sastera Melayu sudah terdapat teks berunsurkan psikoanalisis seperti novel Terdedah karya Shahnon Ahmad.
Meskipun pada awalnya teori ini mendapat sanggahan daripada sebahagian besar peneliti sastera, namun keperluannya dalam mengkaji sastera Melayu dirasakan tuntutannya.
Ada juga menolaknya, dikatakan teori kejiwaan ini bertentangan dengan Islam dan tradisi Melayu, namun tentangan itu tidak begitu kuat. Lama-kelamaan kehadiran psikoanalisis dialu-alukan.
KEGHAIRAHAN
Psikoanalisis yang diperkenalkan oleh Hashim Awang tidak hanya setakat teori psikologi Sigmund Frued, juga yang diperkenalnya Teori Sastera Arketaip oleh Carl Gustav Jung.
Teori ini memperkenalkan konsep bawah sedar kelompok atau collective unconscious yang dimiliki secara naluriah oleh khalayak.
Konsep ini menunjukkan dalam diri manusia itu terdapat sifat keghairahan rasa terpesona, tergoda atau tersentak terhadap sesebuah karya sastera yang mempunyai komposisi perulangan tradisi seperti menggambarkan unsur-unsur mitos, legenda, heroisme, cinta, nasionalisme dan sebagainya.
Ketiga Hashim Awang juga turut memperkenalkan Teori Strukturalisme yang diasaskan Ferdinand de Saussure yang dimantapkan kemudiannya oleh Roland Barthes.
Strukturalisme menekankan hubungan dan keterjalinan semua unsur di dalam sebuah sistem karya.
Tujuan analisis semacam itu adalah untuk memperoleh objektiviti, koherensi, dan kebenaran dengan meletakkan kecermatan dan ketelitian kajian.
Teori Strukturalisme dianggap zaman pemisah atau transisi daripada teori moden ke teori sastera pasca moden.
Keempat pemikiran kritikan Hashim Awang dipindahkan kaedah pengajaran sastera di sekolah menengah.
Kaedah-kaedah itu digunakan dalam usaha menyemarakkan pengajaran sastera seperti kaedah struktural, kaedah mengalami dan menghayati dan kaedah berfokus.
Kesemua kaedah itu diajarkan dan digunakan oleh guru sekolah menengah sewaktu mengajar sastera dan kini telah menjadi kaedah yang popular dan wajib.
Tidak syak lagi kaedah-kaedah itu adalah jaluran sumbangan pemikiran dan amali kritikan Hashim Awang.
Kelima kemuncak kreativitinya mencipta teori sasteranya sendiri yang diberinya nama Pengkaedahan Sastera Melayu. Ia berpecah kepada dua bahagian iaitu Pengkaedahan Alamiah dan Pengkaedahan Agama.
Yang pertama memecah kepada pendekatan gunaan, pendekatan moral dan pendekatan firasat dan yang keduanya ialah pendekatan dakwah, pendekatan kemasyarakatan dan pendekatan seni.
Keempat dalam konteks kritikan dan teori sastera, Hashim Awang juga yang melegitimasikan bahawa Pendekatan Sastera Islam yang saya kemukakan 1986 dalam buku Kritikan Sastera: Pendekatan dan Kaedah memenuhi syarat sebagai sebuah teori sastera.
Dengan kenyataan itu dengan sendirinya teori yang diubah sebagai Teori Sastera Taabudiyah itu sebagai teori pertama dicipta di tanah air.
Hashim Awang contoh peribadi yang mengkhususkan dirinya semata-mata sebagai pengkritik sastera.
Tidak seperti kritikawan lain, ada yang menulis teks kreatif tetapi Hashim Awang penceburannya dalam bidang ini hanya semata-mata kritikan itu sahaja.
Justeru itu penumpuan yang penuh itu, ilmunya luas dan mendalam serta mampu memberi sumbangan yang besar dan berkesan.
Antara sumbangannya ialah Hashim Awang telah melakukan penyelidikan untuk menyusuri sejarah kritikan sastera Melayu moden di peringkat awal iaitu di tahun 1930-an untuk menentukan corak dan bentuk kritikan dewasa itu.
Kepentingan dapatannya daripada penyelidikan itu sampai sekarang masih dipakai di pusat pengajian tinggi.
Beliaulah juga orang bertanggung-jawab dalam memberikan definisi kritikan sastera Melayu yang berteraskan kepada sejarah dan tradisi sastera Melayu.
Definisi beliau ialah bahawa kritikan dalam sastera Melayu di peringkat awal itu iaitu 1930-40-an adalah longgar dan umum belum mencapai peringkat kritikan saintifik seperti dalam tradisi Barat.
Hashim Awang menegaskan kritikan praktis haruslah menggunakan teori sastera.
Kritikan praktis tanpa teori bukannya kritikan, hanya sebuah apresiasi. Dengan penegasan ini menunjukkan kepentingan teori dalam kerja kritikan dan seseorang yang ingin menjadi pengkritik wajiblah menguasai pelbagai teori sastera.
Peribadinya seorang yang tenang dan sabar. Menguasai keilmuan sastera, kritikan dan teori sastera.
Antara khazanah peninggalannya buku-buku Cerpen-cerpen Melayu Sebelum Perang Dunia Kedua, 1975; Strukturalisme dalam Ilmu Sastera dan Aplikasinya, 1985; Kritikan Kesusasteraan:Teori dan Penulisan, 1988; Penciptaan dan Kemanusiaan dalam Cerpen dan Novel, 1988; Teori Pengkaedahan Melayu, 1988 dan Novel Hikayat: Satu Penelitian Struktur Penceritaan Melayu, 1989.
Selamat beristirahat tokoh pengkritik sastera sezaman. Jasanya akan tetap dikenang. Semoga rohnya bersama para solihin. Amin.
* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!