Karya agung setiap negeri dimartabat

Antara pelakon teater hebat, Norhafis Mustaffar (dua dari kanan) sebagai Sarjan Che Wan.
Antara pelakon teater hebat, Norhafis Mustaffar (dua dari kanan) sebagai Sarjan Che Wan.
A
A
A

KOTA BHARU - Setiap negeri akan mempunyai karya agung demi mengangkat martabat sejarah dan kekuatan negeri yang kian dilupakan.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Haris berkata, buat julung kali sebanyak 17 naskhah karya agung terpilih dan akan dipersembahkan melalui pementasan teater, tahun ini.

Menurutnya, pihaknya mengenal pasti karya-karya agung yang terdapat di keseluruhan 14 negeri dan diangkat untuk didekatkan dengan rakyat.

“Antara matlamatnya, supaya generasi muda dapat memahami, mengenali dan menghayati karya di negeri-negeri.

“Misalnya Kelantan memilih teater Tok Janggut 13 Liang dan banyak lagi tajuk khusus karya agung dari setiap negeri akan dipentaskan,” katanya pada sidang akhbar selepas Pementasan Karya Agung: Tok Janggut 13 Liang di Dewan Utama Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini, pada Sabtu.

Pelakon utama, Datuk Hilal Azman (dua dari kanan) yang memegang watak utama Tok Janggut.
Pelakon utama, Datuk Hilal Azman (dua dari kanan) yang memegang watak utama Tok Janggut.

Menurut beliau, pementasan teater karya agung bagi tiga negeri selesai diadakan iaitu Terengganu pada 22 September lalu, Pulau Pinang (27-29 September) serta Kelantan (18 dan 19 Oktober).

Terengganu memilih tokoh penyair, Allahyarham J M Aziz untuk diangkat dan dikenang semula karya-karya sastera dihasilkan beliau menerusi persembahan teater muzikal Malam Mengenang J M Aziz ‘Pengantin Laut Berkolek Bersajak’.

Artikel Berkaitan:

Pulau Pinang pula mengadakan pementasan karya agung bertajuk Bangsawan Mestika Bumi.

Mohd Amran turut berbangga kerana pementasan naskhah Tok Janggut 13 Liang melibatkan team produksi golongan muda juga arahan daripada pengarah muda, Jihan Meghaa Ismail.

Pementasan yang didakan di Kelantan selama dua hari tersebut turut mendapat sambutan ‘pecah panggung’ dengan lebih 3,000 penonton.

Katanya, teater Tok Janggut 13 Liang memaparkan perjuangan Tok Janggut yang pastinya memberi kesan mendalam kepada team produksi juga penonton.

“Mesej disampaikan berkaitan perjuangan dan matlamat dalam memastikan kedaulatan Tanah Melayu terpelihara.

Teater Tok Janggut 13 Liang yang dipentaskan di Kota Bharu pada Sabtu.
Teater Tok Janggut 13 Liang yang dipentaskan di Kota Bharu pada Sabtu.

“Teater ini juga memaparkan petualang kejatuhan atau kebobrobkan masyarakat datang daripada bangsa sendiri yang berpaling tadah dan lebih mengagungkan orang luar daripada bangsa serta budaya tempatan.

“Mesej disampaikan jelas, tidak bersimpang siur dan terlalu berat atau sukar untuk difahami,” ujar beliau.

Pementasan karya agung seterusnya bertajuk Teater Asy Syura akan berlangsung pada 25 dan 26 Oktober ini di Perlis, kemudian Siri Jelajah Pementasan Mek Mulung ‘Puteri Cahaya Bulan’ Siri 1 pada 27,28 Oktober di Selangor serta Teater Alang Rentak Seribu pada 8,9 November di Perak.

Antara lain, Pementasan Teater Tradisional Mak Yong ‘Raja Tangkai Hati’ pada 9 dan 10 November ini juga di Perak serta Siri Jelajah Pementasan Mek Mulung ‘Puteri Cahaya Bulan’ Siri 2 pada 16 dan 17 November di Johor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!