Mayat lima mangsa bot regata karam ditemukan pagi ini

Kesemua mayat lima mangsa bot regata karam ditemukan secara berperingkat antara pukul 6.16 pagi hingga 7.09 pagi tadi. Foto JBPM Sarawak
Kesemua mayat lima mangsa bot regata karam ditemukan secara berperingkat antara pukul 6.16 pagi hingga 7.09 pagi tadi. Foto JBPM Sarawak
A
A
A

KUCHING - Mayat kelima-lima mangsa yang terlibat dalam insiden bot regata karam semasa sesi latihan di Sungai Sarawak berhampiran Royal Bay Commercial Centre, Jalan Buruh Bintawa pada Jumaat lepas telah ditemukan pagi Ahad.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan bahawa kesemua mangsa ditemukan secara berperingkat antara pukul 6.16 pagi hingga 7.09 pagi tadi.

"Kelima-lima mangsa telah dijumpai dan kini menunggu pengesahan daripada pihak polis serta Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Dua mangsa ditemukan pada pukul 6.16 pagi, satu lagi pada 6.40 pagi, Sarawak Coastguard menemui seorang lagi pada 7.07 pagi, manakala mangsa terakhir ditemukan pada 7.09 pagi dengan bantuan dron," katanya.

Mangsa-mangsa yang terlibat dalam tragedi tersebut dikenali sebagai Mohamad Ikhmal Sama'ail, 34; Majurie Maharuf, 32; Mohd Afiq Isyamudin Asaari, 26; Muhammad Khairul Hisyam Kasturi, 23; dan Mohamad Khairul Bidin, 26.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah mengesahkan dalam sidang media penamatan operasi SAR bahawa kesemua mayat yang ditemukan adalah individu yang dilaporkan hilang dalam insiden bot regata karam.

Beliau berkata, kesemua mangsa dijumpai kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi kejadian dan proses pengecaman mayat oleh ahli keluarga telah selesai di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada pukul 9 pagi Ahad.

"Proses pengecaman dilakukan oleh bapa kepada dua mangsa, dua lagi mangsa dicam oleh isteri mereka, manakala satu lagi oleh ibu. Operasi SAR secara rasmi tamat pada pukul 10 pagi tadi," katanya.

Artikel Berkaitan:

"Seterusnya, proses bedah siasat akan dilakukan oleh Jabatan Forensik HUS. Setelah selesai, kami akan menyerahkan jenazah kepada keluarga mangsa untuk dibawa balik bagi proses pengebumian di kampung masing-masing,” katanya.

Mohd Farhan Lee berkata, jarak antara kesemua mayat yang ditemukan meliputi radius kira-kira 500 meter persegi di kawasan baraj Sungai Sarawak, dengan satu mayat ditemukan di tepi tebing sungai, manakala empat lagi di tengah sungai.

"Daripada tarikh dan waktu kejadian pada 3.47 petang 18 Oktober hingga 6.16 pagi ini, kami mengambil masa 45 jam sebelum mayat pertama dijumpai, dan 50 minit untuk menemukan mayat kelima,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk tempatan, yang telah memberikan bantuan sepanjang misi SAR tersebut.

Kelima-lima mangsa yang merupakan peserta regata dilaporkan sedang menjalani sesi latihan pada Jumaat apabila bot mereka karam akibat gelombang yang dihasilkan oleh sebuah bot nelayan yang datang dari arah bertentangan.

Dalam insiden itu, hanya 11 daripada 16 peserta yang juga kakitangan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) berjaya menyelamatkan diri.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!