Belanjawan 2025 beri manfaat besar kepada belia

Mohamad Nazri
Mohamad Nazri
A
A
A

GEORGE TOWN - Peningkatan jumlah bantuan kewangan untuk belia berstatus bujang yang dibentangkan dalam Belanjawan 2025 Jumaat lalu dilihat dapat membantu mengurangkan beban kos sara hidup golongan terbabit.

Pengerusi Gerakan Belia 4B(M) Pulau Pinang, Mohamad Nazri Abdul Latiff berkata, selain itu, peluasan program MyLesen kepada 15,000 pelajar B40 membantu memudahkan mereka mendapatkan Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B2.

"Kami menyambut baik Belanjawan 2025 yang bertemakan Menjana Pertumbuhan, Memastikan Kesejahteraan, dengan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat besar kepada belia dan Pulau Pinang.

"Antaranya adalah Skim Mikro Belia (RM150 juta) dan Skim Mula Niaga (RM50 juta) untuk menyokong usaha belia memulakan perniagaan.

"Selain itu, Program Pembangunan Keusahawanan Belia Bumiputera (RM30 juta) menyediakan sokongan khusus kepada usahawan muda," katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Tambah beliau, langkah kerajaan menaikkan gaji minimum kepada RM1,700 dan kesinambungan inisiatif MySTEP untuk memastikan belia mendapat peluang pekerjaan dengan pendapatan yang setimpal juga amat dihargai.

"Program MYInsentif Kesuma (RM30 juta) bagi belia India pula memperkukuh kesamarataan dalam pembangunan belia.

"Komitmen kerajaan terhadap pendidikan dengan peruntukan RM4 bilion untuk biasiswa dan pinjaman pendidikan menunjukkan tumpuan yang besar untuk membangun modal insan berkualiti," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, Dana Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak RM500 juta bagi pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) memberi dorongan kepada belia untuk terlibat dalam sektor teknologi.

"Selain itu, Program Rakan Muda (RM25 juta) dan Belia Kreatif Komuniti Madani (RM30 juta) akan terus memperkasa kreativiti dan potensi belia.

"Melalui Step Up Financing (RM5 bilion), kerajaan mempermudah golongan muda untuk memiliki rumah pertama dengan bayaran balik yang lebih rendah, membantu belia yang baru memulakan keluarga," katanya.

Sementara itu, Bagi Pulau Pinang, projek UTC di Seberang Perai dan penerusan Pas Bulanan My50 dilihat akan memudahkan pergerakan belia.

"Pelaksanaan Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua akan meningkatkan aksesibiliti dan infrastruktur negeri.

"Dengan pengumuman yang dibentangkan itu, Gerakan Belia 4B(M) Pulau Pinang memuji dan menyokong Belanjawan 2025 yang berorientasikan pertumbuhan dan kesejahteraan.

"Kami juga komited untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan kejayaan inisiatif yang memajukan belia dan negeri," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!