Kembar yatim piatu terima ijazah kelas pertama, hargai pengorbanan nenek

Dari kiri: Siti Nur Mastika Daliana Muhammad Yusof bersama neneknya, Wan Zaharah Ahmad dan Siti Nur Masmera Dalina Muhammad Yusof.
Dari kiri: Siti Nur Mastika Daliana Muhammad Yusof bersama neneknya, Wan Zaharah Ahmad dan Siti Nur Masmera Dalina Muhammad Yusof.
A
A
A

KEMAMAN - Pasangan kembar seiras yatim piatu berkongsi kegembiraan meraikan majlis graduasi mereka bersama segulung ijazah pada Majlis Konvokesyen ke-24 University College TATI (UC TATI) di sini.

Lebih mengharukan, Siti Nur Masmera Dalina Muhammad Yusof dan Siti Nur Mastika Daliana Muhammad Yusof yang berusia 23 tahun itu turut memberikan hadiah terindah kepada nenek mereka iaitu Wan Zaharah Ahmad, 79, yang telah menjaga pasangan kembar itu sejak kecil setelah pemergian ibu bapa mereka yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Siti Nur Masmera Dalina dan Siti Nur Mastika Daliana masing-masing menerima Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Peralatan) dengan Kepujian pada majlis konvokesyen yang berlangsung pada Ahad.

Lebih menggembirakan apabila mereka berjaya menerima Ijazah Kelas Pertama atas pencapaian akademik yang luar biasa.

Siti Nur Masmera Dalina berkata, walaupun menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan namun dia tidak pernah berputus asa untuk mengejar impian menjadi seorang jurutera.

Menurut Siti Nur Masmera Dalina, kejayaan itu merupakan hadiah terindah diberikan kepada neneknya yang telah banyak berkorban untuk membesarkan dia bersama adik kembarnya.

"Tidak pernah terlintas dalam fikiran bahawa kami akan berada di sini meraih ijazah dan menerima penghargaan yang begitu bermakna.

"Segala yang kami capai adalah hasil sokongan tidak berbelah bahagi nenek kami iaitu Wan Zaharah selain bantuan diberikan oleh pihak universiti,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Siti Nur Mastika Daliana, turut berkongsi rasa syukur dan bangga atas kejayaan mereka meraih ijazah dalam bidang kejuruteraan.

"Kami sentiasa saling memberi semangat antara satu sama lain. Nenek juga sangat berjasa dalam hidup kami dan saya sangat hargai kasih sayang dan pengorbanan daripada nenek yang tiada galang ganti.

"Walaupun banyak cabaran yang dihadapi, kami tahu bahawa pendidikan adalah satu-satunya cara untuk keluar daripada kesusahan," ujarnya.

Dari kiri: Siti Nur Mastika Daliana Muhammad Yusof bersama neneknya, Wan Zaharah Ahmad dan Siti Nur Masmera Dalina Muhammad Yusof.
Dari kiri: Siti Nur Mastika Daliana Muhammad Yusof bersama neneknya, Wan Zaharah Ahmad dan Siti Nur Masmera Dalina Muhammad Yusof.

Sementara itu, nenek kepada pasangan kembar berkenaan, Wan Zaharah berkata, dia berasa bersyukur apabila cucu kembarnya yang dibesarkan sejak kecil berjaya menamatkan pengajian dalam bidang diminati.

"Saya seorang suri rumah dan kehilangan suami, Awang Ngah Sulong ketika pasangan kembar itu berusia 15 tahun.

“Saya sangat bangga dan terharu dengan kejayaan mereka. Walaupun kami tidak mempunyai banyak harta, saya selalu berpesan supaya mereka belajar bersungguh-sungguh.

"Mereka telah membuktikan bahawa usaha yang gigih serta berkat doa tidak pernah sia-sia dan mereka kini berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang,” katanya sambil menitiskan air mata kegembiraan.

Sementara itu, Wan Zaharah turut berterima kasih kepada pihak pengurusan UC TATI yang telah memberi peluang dan bantuan biasiswa asasi kepada cucunya bagi membolehkan mereka melanjutkan pelajaran di universiti berkenaan.

"Saya juga berterima kasih kepada Yayasan Terengganu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) atas sumbangan dana kebajikan kepada Siti Nur Masmera Dalina dan Siti Nur Mastika Daliana hingga mereka berjaya menamatkan pengajian di UC TATI," ujarnya.

Pada majis itu, Siti Nur Masmera Dalina telah dianugerahkan Anugerah Rektor atas kecemerlangannya yang tidak hanya terhad kepada bidang akademik tetapi juga aktif dalam kokurikulum.

Siti Nur Masmera Dalina juga merupakan contoh teladan kepada pelajar lain dengan penglibatannya yang aktif dalam pelbagai program universiti dan pencapaian akademik yang konsisten.

Sementara itu Rektor UC TATI, Profesor Dr Anuar Ahmad berkata, beliau turut memuji keberanian dan semangat kedua-dua kembar tersebut.

“Mereka adalah contoh terbaik kepada semua pelajar bahawa kejayaan bukanlah semata-mata bergantung kepada keadaan asal kita tetapi kepada usaha dan komitmen yang kita tunjukkan,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!